KUALA LUMPUR: Selama seminggu sejak 13 November lepas, berlangsung penganjuran Minggu Sajian Itali di Dunia, yang antara lain menjadi peluang untuk peminat makanan menikmati keenakan masakan Itali.

Dianjurkan Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Itali, acara global itu turut diadakan serentak di lebih 100 negara di seluruh dunia.

Di Malaysia, ia dianjurkan Kedutaan Itali dan Agensi Perdagangan Itali di Kuala Lumpur (ITA) dengan kerjasama Dewan Perniagaan Itali di Malaysia (ITALCHAM).

Penganjuran Minggu Sajian Itali di Malaysia sudah memasuki edisi kelapan dan kali ini ia dianjurkan dengan tema “Semeja Dengan Masakan Itali: Kesejahteraan Dengan Keenakan.”

Duta Besar Itali ke Malaysia, Massimo Rustico pada sidang media di kediamannya, di sini, baru-baru ini berkata, matlamat penganjuran minggu masakan itu menjurus kepada mahu mempamerkan tradisi masakan negara berkenaan sebagai ciri-ciri khas jenama Itali.

“Antara lain, acara yang dinikmati di seluruh negara sepanjang penganjuran ini adalah bertujuan untuk mempromosikan pertukaran budaya, amalan lestari dalam penyediaan makanan dan cita rasa asli dari Itali.

“Selebihnya, ia juga dapat meningkatkan eksport pasaran industri agro makanan sambil mempromosikan sektor pelancongan yang berhubung kait dengan agenda atau “itinerary,” makanan dan minuman,” kata beliau.

AWANI Pagi: Menghidu, Merasai Kenikmatan Makanan Itali Di Bumi Malaysia

Rustico berkata, minggu penganjuran sajian Itali adalah masa serta peluang terbaik untuk orang ramai berkumpul sambil meneroka dan menikmati pelbagai jenis makanan dari Itali.

Beliau menambah, program itu bukan sekadar acara masakan, malah platform meraikan pertukaran budaya yang sifatnya mengeratkan jalinan dua negara.

“Tidak menghairankan, ini kerana sajian Itali itu sendiri menjadi jambatan yang menghubungkan manusia dan budaya selain acara berkenaan meraikan keunikan gastronomi dari Itali dengan rakyat Malaysia,” kata Rustico.

Dalam pada itu, Rustico berkata, rakyat Malaysia juga didedahkan dengan keunikan sebenar bahan-bahan dari Itali dengan mengetengahkan wilayah asal ramuan terbabit sepanjang minggu penganjuran berlangsung.

Bagi tujuan itu, dua Chef terkemuka, iaitu pakar daripada Institut Profesional 'Aldo Moro' bagi Perkhidmatan Makanan, Wain dan Hospitaliti Hotel Santa Cesarea, Chef Patrizia Esposito dan Chef Antonio Rizzo. turut diterbangkan khas dari Itali ke Kuala Lumpur bagi memeriahkan minggu sajian Itali.

Sementara itu, orang ramai turut berpeluang menikmati pelbagai juadah Itali enak di restoran yang terbabit dalam acara berkenaan.

Terdapat 27 restoran menyajikan hidangan Itali di Malaysia terlibat dalam acara Minggu Sajian Itali di Dunia, di mana restoran-restoran itu ada di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.