Umpama pembunuh senyap, kanser paru-paru tidak menunjukkan gejala yang jelas pada peringkat awal, oleh itu seseorang mesti sentiasa waspada terhadap beberapa 'bendera merah' yang dikaitkan dengan penyakit ini.

Perunding Perubatan Dalaman (Pernafasan Perubatan) Hospital Pantai Ayer Keroh, Dr Muventhiran Ruthranesan berkata bendera merah yang dikaitkan dengan kanser paru-paru termasuk sesak nafas, batuk darah, kehilangan berat badan dengan atau tanpa hilang selera makan, sakit tulang yang luar biasa, sakit dada dan keletihan.

"Walaupun terdapat penemuan baharu dalam rawatan kanser paru-paru, saya harus menekankan bahawa matlamatnya harus untuk pencegahan dan pengesanan awal bagi memperbaiki hasilnya.

"Kanser paru-paru adalah penyakit yang membawa kadar kematian yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan Pantai Hospital Ayer Keroh di sini mengenai kesedaran mengenai pentingnya pemeriksaan awal kanser paru-paru.

Presiden Rangkaian Kanser Paru-Paru Malaysia (LCNM), Dr Anand Sachithanandan berkata pengesanan awal akan membantu individu berisiko tinggi untuk memahami status kesihatan mereka dan salah satu pemeriksaan yang tersedia untuk mengesan kanser paru-paru adalah 'Low Dose Computed Tomography' (LDCT).

"Pemeriksaan paru-paru menggunakan LDCT boleh digunakan untuk individu yang mempunyai risiko tinggi untuk mengalami kanser paru-paru tetapi tidak menunjukkan apa-apa gejala," katanya.

Hospital Pantai Ayer Keroh sedang bekerjasama dengan LCNM untuk menyediakan 15 rawatan LDCT percuma untuk individu berisiko tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Ayer Keroh, Tan Yew Aik berkata 90 peratus kes kanser paru-paru dikesan terlambat, oleh itu kesedaran mengenai tanda dan gejala kanser paru-paru adalah penting untuk memastikan pengesanan dan rawatan awal.

Beliau berkata walaupun November adalah Bulan Kesedaran Kanser Paru-Paru, namun ia bukanlah satu-satunya masa untuk kita berkongsi maklumat bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat terutamanya di Melaka.

-- BERNAMA