LIFESTYLE
Sentuhan Bernard Chandran 'penyeri' Perkahwinan Diraja Brunei
Puteri Fadzilah mengenakan rekaan Bernard iaitu busana serba putih dengan hiasan renda klasik. - Gambar/ Instagram @newtron_bw
KUALA LUMPUR: Hasil sentuhan pereka terkenal tanah air, Datuk Seri Bernard Chandran, memang tidak dinafikan kehebatannya kerana sering kali menjadi pilihan selebriti ternama dan orang kenamaan termasuk kerabat diraja.
Terkini, beliau mempamerkan sentuhan emasnya menerusi salah satu busana yang diperagakan Pengantin Diraja Brunei, Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah.
Puteri Fadzilah yang melangsungkan istiadat perkahwinan dengan Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, di Bandar Seri Begawan, Brunei mengenakan rekaan Bernard iaitu busana serba putih dengan hiasan renda klasik.
Perkara itu dikongsikan jurusolek artis antarabangsa, Newtron Whangvisarn menerusi perkongsian Instagramnya pada Ahad.
Ia dikatakan salah satu busana yang menyerikan upacara perkahwinan gilang gemilang Puteri Fadzilah dan Awang Abdullah Nabil sepanjang 10 hari ia berlangsung.