Shahrol Shiro bantu salur air kepada penduduk Kluang

Hasimi Muhamad
Februari 6, 2021 09:15 MYT
Bekalan air disalurkan menggunakan lori bergerak dalam usaha meringankan beban penduduk di kampung halamannya itu - Gambar ihsan Shahrol Shiro
KUALA LUMPUR: Menyedari kepayahan masyarakat susulan masalah gangguan air, pelawak dan pelakon, Shahrol Shiro mengambil inisiatif menghulurkan bantuan air di beberapa kawasan sekitar Kluang, Johor yang terjejas akibat masalah tersebut.
Shahrol atau nama sebenarnya, Shahrol Azizie Azmi, 36, berkata, bantuan itu digerakkan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aku Budak Kluang (AKB) sejak gangguan berlaku empat hari lalu.
Bekalan air disalurkan menggunakan lori bergerak dalam usaha meringankan beban penduduk di kampung halamannya itu.
“Saya bersama sahabat NGO Aku Budak Kluang dan Pemuda UMNO Kluang telah turun bersama-sama membantu. Malam tadi kita agihkan (bekalan air) di beberapa tempat yang terjejas teruk, antaranya di Taman Kluang Barat.
“Masalah air di Kluang ini bermula sejak empat hari lepas dan menurut Syarikat Air Johor (SAJ), masalah itu berpunca daripada kebocoran tangki,” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Sabtu.
Jelas Shahrol, pihaknya menyedari bahawa terdapat keluarga yang gusar kerana berdepan masalah gangguan air dalam tempoh yang lama.
Justeru, beberapa NGO bersama lori-lori tangki SAJ giat menyalurkan bekalan asas itu.
“Antara kegusaran dah tentu apabila lama sangat air tak sampai kat rumah, (ia menganggu rutin) harian sebab ada keluarga yang mempunyai bilangan anak yang ramai.
“Jadi mereka sangat-sangat memerlukan (untuk kegunaan asas),” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Shahrol berkata prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan ketat sepanjang bantuan disalurkan bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19.
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Shahrol giat menghulurkan bantuan termasuk bekalan asas kepada mereka yang memerlukan.
#Pemuda UMNO #NGO #Shahrol Shiro #Masalah gangguan air #Kluang tiada air #bekalan air #COVID-19 #pelawak