BERSEMPENA dengan sambutan bulan penuh kemuliaan, Ramadan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyantuni dan menyampaikan sumbangan barangan keperluan serta duit raya kepada golongan yang tidak berkemampuan, kelmarin.

Sumbangan itu dikongsi dengan 55 anak-anak yatim, miskin dan asnaf yang berumur antara 1 hingga 6 tahun di Pertubuhan Warisan Suci di Kajang yang juga rumah kebajikan dan perlindungan kepada kanak-kanak yang memerlukan terutamanya anak yatim.

Dalam kunjungan tersebut, Pengerusi Pertubuhan Warisan Suci, Rosparizal Ahmad turut hadir menerima sumbangan dan kit makanan keperluan daripada Yayasan UMPSA.

Program Singgah Sahur UMPSA turut berpeluang bertemu dengan seramai 27 anak- anak di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim/Miskin Muhamad Al-Fateh di Bangi Aveneu, Kajang bagi mengedarkan sumbangan dan duit raya buat anak-anak di sini.

Pengerusi pusat jagaan, Mohd. Zaidi Zainal Abidin turut menyampaikan taklimat dan berkongsi mengenai operasi pusat jagaan ini.

Program kebajikan itu turut bertemu barisan hadapan petugas keselamatan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putrajaya (Presint 7) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Putrajaya.

Dalam kunjungan ke BBP Putrajaya, rombongan Singgah Sahur disambut oleh  Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Penguasa Kanan Bomba 1, Ashari Johari.

Sementara di IPK Putrajaya pula, Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintenden Polis Mohd Hafiz Shamsudin menerima  juadah bersahur bagi pihak anggota keselamatan.

Program melibatkan seramai 40 sukarelawan Kilau yang terdiri daripada barisan pengurusan UMPSA, Ahli Lembaga Pengarah UMPSA dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMPSA serta pelajar ke destinasi terpilih bagi menyantuni pengurusan rumah kebajikan dan asnaf.

Hadir sama dalam program itu ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA , Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Yuserrie Zainuddin.

Menurut Yuserrie, selain beramah mesra, program ini bertujuan berkongsi rezeki dengan menyampaikan juadah sahur.

“Program ini bukan sahaja dapat memberi peluang kepada  untuk beramah mesra dengan penghuni rumah pertubuhan dan malah juga dapat memupuk keinsafan dan kesyukuran dalam diri,” katanya.

Selain mengeratkan lagi silaturahim sesama agensi di negeri ini, kunjungan ke agensi ini juga secara tidak langsung dapat menzahirkan penghargaan kepada petugas yang menyumbang kepada negara, di samping meraikan Ramadan.

Program Singgah Sahur ini dilaksanakan setiap saban tahun sebagai mengisi program Ramadan bagi mendekatkan universiti dengan masyarakat seiring dengan aspirasi UMPSA “Teknologi Untuk Masyarakat” dan mengangkat agenda kesukarelawan dalam kalangan warga.

Program yang bermula pukul 10.30 malam itu dan berakhir tiga jam kemudian.