Selama ini, akhbar lama yang tersusun kemas di sudut kecil ruang tamu rumah Khatijah Abdullah, 42, hanyalah untuk dijual kepada pembeli "paper lama".

Biarpun ada ketikanya beliau merungut dengan harga rendah diberikan setelah dijual, namun cara itu lebih selesa daripada membiarkannya terus berlonggok, kian meninggi hingga menyesakkan mata.

Kalau tidak dijual pun, wanita Orang Asli suku kaum Jakun ini akan menjadikannya sebagai alas mahupun kertas pembalut makanan.

Itu sahaja, kerana bagi beliau akhbar lama tidak mempunyai nilai selain menyempitkan ruang istirehat bersama keluarga yang tidak sebesar mana itu.

Namun, semuanya 'berubah' apabila anak kelahiran negeri yang terkenal dengan masakan ikan patin lemak tempoyak ini mengikuti kursus anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) pada 2008.

Sama sekali tidak terlintas di fikirannya, akhbar lama mempunyai nilai komersial tersendiri untuk ditransformasi sebagai produk kraf yang mampu menjana pendapatan lumayan.


Unik

"Kursus ini diberi percuma dan membuka mata saya dan wanita lain supaya merebut peluang yang ada dengan memanfaatkan barang-barang sekeliling kita seperti akhbar lama.

"Lagipun, murah dan mudah didapati. Ini, membuatkan saya teruja apatah lagi dapat pula menjadikannya pelbagai produk kraf yang menawan hati. Sekarang, saya lebih menghargai suratkhabar," katanya.

Dengan kreativiti tersendiri, akhbar lama boleh dijadikan bakul, pasu bunga mahupun lampu hiasan dalaman yang kini menjadi trend dalam kalangan peminat seni kraf.

akhbar lama
Akhbar lama boleh dijadikan bakul, pasu bunga mahupun lampu hiasan dalaman.


Bagi mereka, produk kraf ini mempunyai keunikan tersendiri yang berupaya membangkitkan suasana kediaman. Maka, tidak menghairankanlah apabila ia sentiasa menjadi rebutan dan mempunyai nilai pasaran semasa.

Melihat prospeknya begitu meluas, menarik minat wanita ini menubuhkan perniagaannya di bawah syarikat, Khatijah Enterprise.

"Saya menginginkan kelainan, tidak mahu tampil serupa dengan produk Orang Asli di pasaran. Selepas beberapa kali mencuba, akhirnya saya berjaya menghasilkan kraftangan yang halus buatannya.

"Kemahiran menganyam dan menghasilkan produk kraf Orang Asli yang diwarisi daripada nenek moyang, sedikit sebanyak membantu," katanya kepada Bernama.


Tidak lokek

Ketika menemui beliau di Karnival Usahawan Orang Asli (KUOA) 2014 anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) baru-baru ini, Khatijah berkata minat yang pada awalnya hanya suka-suka telah membuka pintu rezeki kepada mereka sekeluarga.

Bermula sekadar mencantikkan rumah, hasil kreativitinya kini meraih perhatian rakan-rakan mahupun jiran di sekitar kawasan kediamannya di Bukit Sekilau, iaitu dekat dengan bandar Kuantan, Pahang.

Sambutan diterima begitu memberangsangkan dan boleh dikatakan hampir 'tidak menang tangan' dibuatnya sehingga memerlukan beliau menambahkan lagi kapasiti pengeluaran produk.

Ini kerana, permintaan semakin bercambah khususnya ketika menjelang musim cuti sekolah dan kenduri kahwin kerana ramai berminat menempah bekas bunga telur dan bekas kotak pensil daripada kraf itu.

Pernah beberapa kali wanita ini menerima tempahan bekas bunga telur agak banyak sehingga melebihi 1,000 ke atas, yang memerlukan tenaga kerja lebih daripada seorang untuk menyiapkannya.

"Pelancong tempatan juga meminati produk ini, tetapi majoriti pelanggan saya adalah pelancong Singapura. Mereka tidak kisah berbelanja lebih untuk memilikinya," kata beliau.


Identiti tersendiri

Bagi memenuhi permintaan itu, Khatijah akhirnya membuat keputusan menarik sepupunya, Siti Aishah Abdullah, 44, menjadi rakan kongsi bagi mengembangkan lagi perniagaan kraf berkenaan.

"Melihat kesungguhannya belajar dan mempelbagaikan rekaan produk ini, saya memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk fokus penghasilan kraf akhbar.

"Manakala saya kini, memberi tumpuan produk kraf berasaskan siput dan herba untuk wanita," katanya.

Tidak mahu tampil serupa dengan pengusaha kraf akhbar lain, mereka berdua nekad mengkaji strategi pasaran, kehendak, rekaan terbaharu selain mementingkan gabungan ciptaan konsep tradisional dan kontemporari.

Ini juga bagi membentuk identiti tersendiri jenama 'Khaty Craft' selain keutamaan kepada permainan warna gelap dan terang untuk mempengaruhi pembeli, jelas Siti Aishah.

Dengan modal tidak sebesar mana kerana bahan diperlukan hanyalah gam, pewarna, pemotong dan akhbar, ratusan produk kraf ini dapat dihasilkan dalam tempoh masa beberapa hari sahaja.


akhbar lama2
Kraf akhbar ini adalah setanding dengan barangan diperbuat daripada rotan mahupun buluh jika kena cara pembuatannya.


Tahan lama

"Bagi bakul besar, masa diambil hanyalah dua hari sahaja. Bagaimanapun, saya amat mementingkan kualiti kerana mahu pelanggan berpuas hati," kata Siti Aishah.

Berbangga menjadi usahawan alam sekitar, beliau berkata kraf akhbar ini adalah setanding dengan barangan diperbuat daripada rotan mahupun buluh jika kena cara pembuatannya.

Maka, tidak menghairankanlah apabila produk yang dijual pada harga serendah RM5.90 ini pernah disangka diperbuat daripada buluh. Berkat ketekunan dan kesabaran, kini wanita ini mampu memperoleh pendapatan antara RM800-RM1,000 sebulan.

Walaupun pendapatan diperoleh tidak sebesar mana disebabkan pemasaran tidak meluas, namun sedikit sebanyak dapat membantu keluarga, katanya.

"Selain berniaga di UTC Pahang setiap hari Jumaat dan Ahad berkonsepkan 'car boot sales', saya juga aktif menyertai pelbagai karnival seperti KUOA 2014 ini dan menerima tempahan di talian 010-9083703.

"Penganjuran karnival seperti ini membuktikan komitmen kerajaan membantu masyarakat Orang Asli aktif dalam perniagaan," jelasnya.

Karnival Usahawan Orang Asli, yang diperkenalkan sejak 2009, telah diadakan selama empat hari bermula 30 Okt lepas di Lembah Klang bertujuan membantu mempromosi produk keluaran masyarakat Orang Asli. -- Sakini Mohd Said (Bernama)