[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
GAYA HIDUP

Susu ibu cair bukan tidak cukup zat - Pakar

Bernama 17/09/2025 | 09:45 MYT
Setiap susu ibu unik dan mempunyai kandungan zat berlainan kerana disesuaikan mengikut keperluan bayi. - Unsplash
KUALA LUMPUR: Keadaan susu cair sering menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu, terutamanya bagi mereka yang pertama kali menimang cahaya mata kerana salah faham bahawa susu itu tidak mempunyai zat mencukupi untuk tumbesaran bayi.

Justeru, ada sesetengah ibu bertindak memberikan susu formula sebagai tambahan kepada pemakanan bayi mereka kerana percaya susu formula mengandungi nutrien lengkap berbanding susu badan yang cair.

Menjelaskan kekeliruan itu, Pakar Perunding Pediatrik Dr Faisal Mohd Fadzli berkata walaupun cair, susu ibu merupakan makanan paling lengkap yang dapat tidak ditandingi oleh mana-mana susu formula, terutamanya untuk bayi berusia enam bulan ke bawah.

"Memang lumrah, bila nampak cair rasa tak cukup sebab kita suka benda pekat, dan bila pekat kita rasa nutrien lebih, tetapi sebenarnya susu badan memang cair macam air, berair sedikit, tetapi bukan bermaksud tidak cukup zat," katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata setiap susu ibu unik dan mempunyai kandungan zat berlainan kerana disesuaikan mengikut keperluan bayi.

"Kalau bayi lahir pramatang, susu itu akan beri lebih sedikit zat untuk bayi membesar. Ia boleh bertindak balas begitu sebab susu ibu selari dengan badan ibu yang tak boleh ditiru oleh mana-mana susu formula," katanya.

Menurut Dr Faisal, jumlah susu dihasilkan ibu pada peringkat awal kelahiran pula hanya sekitar 5 mililiter bagi sekali perahan, namun sudah memadai kerana saiz perut bayi baru lahir sangat kecil, membuatkan mereka cepat kenyang.

Malah kata beliau, tidak sampai lima peratus ibu mempunyai masalah penghasilan susu dan rata-rata mampu menghasilkan susu badan yang mencukupi untuk bayi mereka walaupun pengeluaran di peringkat awal sedikit.

"Seiring dengan masa, bila teruskan menyusu, susu itu akan jadi banyak sebab pada peringkat awal memang susu sedikit, dipanggil kolostrum yang sangat berkhasiat serta padat (dengan zat)," katanya.

Selain mengandungi zat pemakanan lengkap, Dr Faisal berkata susu ibu turut berfungsi sebagai perlindungan semula jadi apabila antibodi dihasilkan oleh tubuh ibu disalurkan kepada bayi melalui penyusuan, satu kelebihan yang tidak ditawarkan susu formula.

"Jika ibu terdedah kepada jangkitan atau tidak sihat, tubuh akan hasilkan antibodi dan antibodi itu boleh dipindahkan terus kepada bayi melalui susu... penyusuan badan juga beri kesan positif pada perkembangan emosi bayi. Apabila bayi melekap pada ibunya ketika menyusu, ia mewujudkan ikatan emosi membuatkan bayi tenang," katanya, menambah situasi itu turut membantu meningkatkan berat badan bayi dengan lebih cepat.

Bukan sahaja bermanfaat kepada si kecil, katanya penyusuan badan secara tidak langsung dapat merangsang hormon oksitosin atau hormon kasih sayang pada sang ibu, yang mampu memberikan ketenangan dan mengurangkan risiko kemurungan pospartum.

"Hormon (oksitosin) itu juga akan mengecutkan rahim dengan lebih cepat, menjadikan proses pemulihan ibu selepas kelahiran lebih cepat. Kes tumpah darah lepas lahir pun kurang sebab (rahim) sudah mengecut," katanya.

Berkongsi pengalaman, Nur Nadia Fatihah Omar, 32 yang juga ibu kepada dua cahaya mata, berkata penyusuan badan memberi ikatan positif antara ibu dan anak, terutamanya di awal kelahiran.

"Susu badan pun bagi saya memang kaya dengan nutrien yang boleh bantu perkembangan otak dan tulang bayi, sebab itu saya memilih untuk bagi susu badan juga walaupun ada campur dengan susu formula pada waktu malam," katanya.

Bagi seorang penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Hani pula, walaupun terpaksa bekerja, dia tetap memilih pemberian susu badan kepada anaknya kerana mahu memastikan si bayi menerima khasiat sebaiknya.

"Berdasarkan pemerhatian saya, jika dibandingkan antara susu formula dengan susu badan, memang perut anak saya susah kembung. Mungkin juga kerana saya pun menjaga pemakanan ketika berpantang," katanya yang menyusukan anak hingga berusia lapan bulan sebelum diteruskan dengan susu formula.

-- BERNAMA / Atira Khalisha Nor Adnan


#susu ibu #susu formula #zat susu ibu #perkembangan bayi #susu badan