Pelari solo wanita negara, Suwaibah Muhammad Nasir, komited akan meneruskan misi menawan 30 puncak menara tertinggi di dunia, mulai Mei ini.

Projek itu adalah program misi keamanan dunia sejagat dan usaha mencipta rekod dunia Suwaibah, 44, yang dijadual menyudahkan usaha menawan 29 lagi menara selewat-lewatnya September tahun depan.

Ogos lepas, bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berjaya menawan Menara Avala setinggi 205 meter di Belgrade, Serbia dengan menamat pendakian selama 5.05 minit.

"Mengikut perancangan, antara negara yang memberi persetujuan awal kelulusan pendakian seterusnya adalah Macau, Hong Kong dan China.

"Saya tidak mempunyai masalah untuk meneruskan misi ini walaupun pada bulan Ramadan," katanya dalam sidang media di Seri Kembangan dekat sini pada Khamis.

Selain itu, beliau berusaha mengadakan kempen '30cent30tower' kepada 30 juta rakyat di negara ini yang prihatin terhadap isu-isu kemanusiaan supaya mengambil bahagian menyumbang dana menjayakan misi tersebut.

"Kutipan dana ini akan disalurkan kepada penempatan semula mangsa pelarian di Asia," katanya.

Orang ramai dan badan korporat boleh menyalurkan sumbangan dana berkenaan ke akaun RHB-Asia International Humanitarian Fund Raising di nombor akaun 2141 2900 278130.

Turut hadir dalam majlis itu, penaja utama dan penasihat utama misi itu Datuk Ir Shaari Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan.

Suwaibah berkata dengan kerjasama Malaysia Book of Records, satu majlis Makan Malam Jasamu Dikenang akan diadakan pada 20 Mei bagi memberi pengiktirafan kepada 20 individu legenda sukan negara yang bersama-sama menyokong misi kemanusian itu.

Pemenang wanita pertama KL Towerthon 1998 itu pernah melakar pelbagai kejayaan dalam acara marathon dan mencatat 10 rekod dalam Malaysia Book Of Records termasuk sebagai wanita pertama Malaysia berlari solo sejauh 1,111 kilometer merentasi gurun Sahara di Mesir. -- BERNAMA