Bayangkan jika anda tinggal berseorangan di sebuah bandar yang terpencil? Apakah yang anda akan lakukan?

Tahukah anda di Nebraska, terdapatnya sebuah bandar yang bernama Monowi, satu-satunya perbandaran yang diperbadankan secara rasmi di Amerika Syarikat dengan populasi hanya seorang?

Penduduk berkenaan bernama Elsie Eiler.

Sebagai penduduk tunggal di daerah itu, beliau melantik dirinya sendiri menjadi Datuk Bandar, bendahari, kerani, setiausaha, pemilik kedai dan pustakawan di bandar yang didiaminya.

Menurut warga emas yang berusia 84 tahun itu, selepas kematian suaminya pada tahun 2004, beliau menjadi satu-satunya pemastautin di Monowi.

Walaupun berseorangan, Elsie mengisi masa lapang dengan melayan tetamu yang berkunjung ke restoran peninggalan suaminya.

Elsie membuka restorannya pada pukul 9 pagi, enam hari seminggu dan menerima kunjungan tetamu seperti pemandu trak dan pelancong yang melalui kawasan itu.

"Saya tidak mempunyai keinginan untuk tinggal di tempat lain. Saya sangat gembira di mana saya berada sekarang.

"Saya tahu saya sepatutnya tinggal lebih dekat dengan anak-anak saya atau tinggal bersama mereka bila-bila masa saya mahu, tetapi inilah tempat yang saya mahu tinggal," katany dalam satu temu ramah bersama BBC.

Tambah Elsie, anak-anaknya menghormati keputusannya untuk tinggal di Monowi secara berseorangan dan bebas membuat perkara yang dia inginkan.

Beliau sangat gembira dengan rutin hariannya dan tidak mempunyai keinginan untuk tinggal di tempat lain.

Menurutnya lagi, kebanyakan penduduk di situ sudah meninggal dunia atau berhijrah di bandar-bandar besar sekitar A.S.