Tahun lalu milik Afrika Selatan, adakah tahun ini peluang Amerika Latin?

Syafik Shukri Jalil
Disember 16, 2018 06:33 MYT
Ramalan penulis berdasarkan pemerhatian sepanjang bermulanya Miss Universe 2018 di Bangkok, Thailand.
Debaran semakin hampir untuk dunia mengetahui siapakah yang bakal bawa pulang gelaran Miss Universe 2018.
Esok (Isnin) bakal jadi penentunya, di mana Demi Leigh Nel-Peters akan memahkotakan Miss Universe yang baharu.
Saingan mantap tahun ini menyaksikan kesemua 94 peserta miliki peluang sama rata untuk menang dan media sosial ketika ini dihujani dengan pelbagai ramalan daripada pecinta pertandingan ratu cantik dari seluruh dunia.
Ini merupakan ramalan penulis yang juga merupakan hos bagi program Rupawan AWANI.
Ada yang meramalkan Catriona Gray dari Filipina, Kiara Liz Ortega dari Puerto Rico dan tidak kurang juga meramalkan kemenangan 'back to back' Afrika Selatan yang diwakili Tamaryn Green.
Jika dilihat daripada empat francais ratu cantik sebelum ini seperti Miss World, Miss Supranational, Miss International dan Miss Grand International, peserta dari negara Amerika Latin mendominasi carta kemenangan.
Kemungkinan untuk fenomena ini berulang adalah tinggi jika dilihat kepada senarai peserta dari beberapa negara seperi Puerto Rico, Mexico, Venezuela, Curacao, Ecuador dan Kanada yang berentap tahun ini.
Columbia sebelum ini menghantar peserta yang cukup dominan dengan pencapaian hebat memasuki pentas akhir untuk empat tahun berturut-turut akan tetapi tahun ini Valeria Morales seperti tidak menyerlah.
Ditambah pula dengan kontroversi rakaman videonya bersama Sarah Rose Summer dari Amerika Syarikat dan Francesca Hung dari Australia yang memburukan peserta Kemboja dan Vietnam kerana tidak mampu bertutur dengan baik dalam Bahasa Inggeris.
Mungkin ini akan mengagalkan kemaraanya bagaimanapun segala keputusan dan pilihan berada di tangan juri yang menilai.
Kemaraan peserta dari benua Asia dan Afrika juga seperti tidak mampu disekat.
Tahun ini Filipina, Vietnam, India, Afrika Selatan dan Jepun juga memiliki kekuatan dan aura luar biasa dan ramai menjangkakan benua Asia sekali lagi akan cipta sejarah sebagai pemenang Miss Universe edisi ke-67.
Indonesia, Malaysia dan Thailand tidak ketinggalan untuk memberi saingan mantap dan luar biasa untuk edisi kali ini.
Thailand dan Indonesia masing-masing sebelum ini berjaya melepasi peringkat suku akhir untuk beberapa tahun berturut-turut dan tahun lalu Maria Poonlertlarp berjaya mara sehingga ke Top 5.
Namun ramalan hanya tinggal ramalan, sama-sama kita nantikan keputusan penuh esok.
#Bangkok Thailand #Catriona Gray #Demi Leigh Nel-Peters #Jane Teoh #Kiara Liz Ortega #Miss Universe 2018 #Ramalan Top 20 #rupawan awani #Valeria Morales