KUALA NERANG: Walaupun harga barang meningkat, namun lain bagi seorang peniaga kuih di Felda Lubuk Merbau, di sini, dia memilih untuk menjual kuih-muih juadah berbuka pada harga yang sangat rendah dan tidak masuk akal.

Di Bazar Ramadan Lubuk Merbau, di sini, Roslina Saad, 55, membuat keputusan untuk menjual juadah berbuka dengan RM1 untuk tujuh pilihan cucur (di negeri-negeri utara tanah air, cucur disebut ‘çucoq').

Kata Roslina, tahun lalu dia menjual setiap potong kuih pada harga 10 sen, namun tahun ini dia memilih menjual tujuh potong kuih pada harga hanya RM1.

“Ini adalah kali pertama harga jualan kuih-muih ini dinaikkan daripada 10 sen kepada harga sekarang sejak memulakan perniagaan 21 tahun yang lalu.

“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan dan pelanggan tidak pula mengeluh mengenai perubahan harga, bahkan ada yang cadangkan supaya naikkan lagi harga jualan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Bazar Ramadan Lubuk Merbau, di sini.

Antara kuih yang dijual di gerai Roslina di Bazar Ramadan Lubuk Merbau, Kuala Nerang, Kedah.

Tambah Roslina, tujuan utama aneka kuih-muih dijual pada harga tersebut bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah menikmati juadah pembuka selera atau pemanis mulut pada harga yang murah selain sebagai amal jariah kepada penduduk setempat.

Jelasnya, setiap hari dia menyediakan sehingga 8,000 butir pelbagai jenis kuih, antaranya buah melaka, karipap, onde-onde, lopeh, ketayap, dan pelbagai lagi yang lazimnya habis terjual dalam tempoh kurang dua jam.

"Saya amalkan berniaga sambil buat amal jariah, sebab kesian dekat orang ramai.

"Sekarang ini pendapatan tidak menentu, barang mahal, jadi saya buat jualan dengan harga seperti ini, mereka boleh beli untuk merasa.

“Keseluruhan ada 14 hingga 15 jenis kuih, sehari keseluruhan 7,000 ataupun 8,000 biji habis dijual,” ujarnya.

Sementara itu, Marhaidi Che Bashah, 53, yang juga pelanggan gerai berkenaan menyifatkan usaha yang dilakukan Roslina adalah langkah terbaik bagi membantu kumpulan penduduk yang rata-ratanya penoreh getah, pekerja ladang kelapa sawit dan petani.

Dia juga berharap lebih ramai peniaga lain yang dapat mengikut jejak Roslina dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

"Bagi saya jualan 'cucoq semulut' dengan harga begini sesuai dengan keadaan ekonomi sekarang ini.

"Orang boleh pilih yang mana berselera nak makan. Memang 'cucoq semulut' ini menjadi tumpuan. Saya tengok hari-hari habis, kadang-kadang saya sampai tinggal bekas sahaja,” katanya.

Seorang lagi pelanggan tetap Siti Nor Suraya Saidi, 20, berkata rasa kuih jualan Roslina sangat sedap walaupun harga murah.

"Boleh beli, kira orang susah pun boleh makan cucoq ni, kalau boleh banyakkan lagi jualan yang murah-murah," cadang Siti Nor Suraya.