'Talks with Tony', siri podcast kongsi pengalaman, kegagalan, kisah inspirasi tokoh terkenal

Nickyson Nyambar
Ogos 11, 2021 16:26 MYT
Siri podcast 'Talks with Tony' ini akan berkongsikan pelbagai cerita, kisah-kisah menarik, kegagalan, inspirasi serta pengalaman figura berjaya dalam realiti kehidupan mereka. - Gambar/ AirAsia
KUALA LUMPUR : 'Talks With Tony', sebuah siri podcast yang dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes pada awal bulan ini mungkin satu peluang untuk orang ramai mengenali lebih dekat tokoh perniagaan ini.
Menariknya, siri podcast lapan episod ini berkongsikan mengenai pelbagai isu termasuk menampilkan individu-indvidu berjaya dalam pelbagai bidang.
"Seperti yang anda tahu, saya sangat aktif di media sosial dan podcast adalah merupakan cara terbaharu saya untuk berhubung dengan orang ramai, berkongsi pandangan, dan yang lebih penting, saya ingin berkongsi pengalaman dan buah fikiran saya dengan beberapa rakan hebat dan rakan sekerja yang mana mereka dapat memberi nilai serta memperkasakan kehidupan orang di luar sana.
"Saya ingin memberi peluang kepada pendengar saya untuk belajar sedikit dari saya dan mengenali dengan lebih dekat rakan-rakan saya, berbincang, bukan sahaja berkenaan kejayaan tetapi kegagalan.
"Ini termasuk cabaran yang dihadapi ramai ketika tempoh COVID-19 ini.
"(Podcast) ini akan disertai mereka yang dari bidang perniagaan, rakan saya dari bidang sukan serta muzik dan beberapa figura ternama serta usahawan yang lain," katanya dalam dalam satu kenyataan media AirAsia.
Siri podcast berkenaan akan menampilkan ahli kumpulan Black Eyed Peas iaitu Will.I.Am; Presiden UFC Dana White dan produser serta komposer terkenal David Foster.
'Talks with Tony' sudah dapat diakses menerusi aplikasi Syok, laman web talkswithtony.co selain Spotify, Google dan podcast Apple.
#Talks With Tony #AirAsia #podcast #Tony Fernandes #Black Eyed Peas #Dana White #David Foster