LIFESTYLE

Taman tema air ala kampung tumpuan riadah masyarakat setempat, kurang berkemampuan

Muhafandi Muhamad 26/05/2025 | 05:52 MYT
Taman Air Puyuh Emas di Kampung Bechah Laut, Tanah Merah, Kelantan, menyasarkan pengunjung dalam kalangan penduduk setempat serta keluarga kurang berkemampuan. - Foto Astro AWANI
TANAH MERAH: Seorang penternak dan pengusaha telur burung puyuh di Kampung Bechah Laut, di sini, memanfaatkan tanah ladang dengan membina sebuah taman tema air untuk memenuhi keperluan riadah dan hiburan penduduk luar bandar.
Abd Khairan Firdaus Abd Rahim membina taman tersebut, yang dinamakan Taman Air Puyuh Emas, dengan pelaburan lebih RM1.5 juta, hasil perniagaan telur puyuh yang dimulakan kira-kira 10 tahun lepas.
Ternakan burung puyuh miliknya diusahakan di atas sekeping tanah kebun getah seluas dua ekar sementara taman tema air seluas hampir satu ekar dibina bersebelahan pusat ternakan itu.
Katanya, perusahaan telur puyuh yang dihasilkan dari lebih 40,000 ekor burung puyuh berjaya mendatangkan pendapatan lumayan. Namun, perniagaannya merosot selepas pandemik COVID-19 melanda lima tahun lepas.
Tidak mahu keuntungan hasil jualan telur puyuh hilang begitu sahaja, Abd Khairan Firdaus melabur dengan membeli tiga ekar tanah bersebelahan, sebelum membina taman tema air yang lengkap dengan penginapan.
Foto Astro AWANI
"Dengan fasiliti lengkap seperti tandas, lapan bilik penginapan, tiga kolam air, empat gelongsor air untuk kanak kanak dan dewasa, kolam sedalam 1.5 meter, ia berjaya dibina di kawasan seluas hampir satu ekar.
"Pada awal pembinaannya, orang kampung kata saya tak siuman kerana bina taman tema air di kawasan bekas ladang getah, jauh dari bandar Tanah Merah.
"Bagaimanapun, selepas setahun beroperasi, taman tema air saya mendapat sambutan terutama pada musim cuti sekolah," katanya ketika ditemui di taman tersebut.
Foto Astro AWANI
Menurutnya, dia menawarkan "harga tidak masuk akal" bagi membolehkan penduduk kampung menikmati aktiviti di taman tema itu.
"Tiket masuk ialah RM15 untuk dewasa dan RM12 untuk kanak-kanak, untuk sekali masuk. Dan mereka boleh bermain air, beriadah, berkelah dengan membawa makanan masuk ke taman ini, selama mana mereka suka.
"Kami buka dari jam 9 pagi hingga 8 malam setiap hari. Dengan sekali bayaran masuk, pengunjung boleh menikmati kesemua kemudahan yang ada di taman tema ini," katanya.
Abd Khairan Firdaus berkata, dia tidak meletakkan keuntungan sebagai sasaran apabila membuka taman tema air itu.
Foto Astro AWANI
"Ini bukan soal keuntungan. Sebaliknya, sumbangan saya kepada masyarakat yang tidak berkemampuan dan orang kampung, supaya mereka dapat merasai pengalaman beriadah di taman tema.
"Biasanya, untuk masuk ke taman tema air ternama seperti di Kuala Lumpur, Johor atau Perak, harganya mencecah ratusan ringgit. Bagi keluarga berpendapatan rendah, mereka hanya mampu tengok.
"Namun di sini, dengan sekali bayaran masuk RM15, mereka boleh bermain kesemuanya. Kami juga menyediakan bilik penginapan untuk keluarga menyewa, berehat dan sebagainya," tambahnya.
Abd Khairan Firdaus memaklumkan, penduduk kampung khasnya kanak-kanak teruja dengan kolam air dan taman tema yang dibina ini.
Foto Astro AWANI
Walaupun berada di ceruk kampung, ia menepati tahap keselamatan yang ditetapkan.
Antaranya terdapat sistem penapis air, sistem penapis kolam, air terawat dari sumber air bukit dan air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB), pemeriksaan tahap PH air yang diluluskan Jabatan Kesihatan supaya pengunjung boleh bermain dengan selamat dan bebas daripada sebarang bakteria air.
Taman Air Puyuh Emas merupakan tempat rekreasi kanak kanak setempat serta untuk keluarga kurang berkemampuan.
Walaupun kadangkala berdepan dengan masalah air, namun air bukit berhampiran yang melalui tapisan dan rawatan digunakan untuk mengisi kolam di sini.
#Taman Tema Air #Tanah Merah #Taman Air Puyuh Emas #riadah