Taman tema bertaraf antarabangsa, Legoland Malaysia, akan mula membuka taman tema airnya kepada orang ramai bermula 21 Okt ini.

Pengurus Besarnya Siegfried Boerst berkata taman tema itu akan menawarkan lebih 20 permainan air yang unik selain 70 model yang dibina menggunakan blok lego, sesuai menjadi destinasi pilihan keluarga yang inginkan pengalaman lebih mencabar.

"Salah satu tarikan ialah di Joker Soeker, di mana kanak-kanak boleh merasai permainan interaktif dengan menembak meriam antara satu sama lain serta boleh merasai pengalaman disiram dengan 350 gelen air.

"Selain itu kanak-kanak juga berpeluang membina sendiri rakit mereka menggunakan blok lego lembut yang disediakan," katanya kepada media di sini hari ini.

Selain daripada permainan, katanya pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman di Beach N' Brick Grill dan Brick Bay CafT.

Terdapat juga kabana peribadi yang boleh disewa pengunjung yang mahukan masa lebih santai bersama keluarga.

Sementara itu, Legoland Malaysia akan menyambut ulangtahun pertama pembukaannya pada 15 Sept ini dan pelbagai acara menarik telah diatur untuk pengunjung sempena sambutan ulang tahun tersebut.

Program yang diatur pada 15 dan 16 Sept ini termasuk persembahan tarian, parti untuk kanak-kanak dan persembahan bunga api dalam versi 3D.

"Kami juga akan menganjurkan satu sesi aktiviti bersama pengunjung iaitu membina sebiji kek daripada bongkahan lego yang bermula 5 hingga 14 September," katanya.

Kek tersebut diperbuat daripada 3000,000 bongkahan lego, dengan beratnya 646.2192 kilogram, tinggi 1.60 meter dan lebar tiga meter, katanya.