Tarian air pancut terpanjang di Malaysia, tarikan terbaharu buat warga Lembah Klang

Fareez Azman
April 11, 2021 02:00 MYT
Pertunjukan air pancut muzikal sepanjang 120 meter dengan pelbagai genre muzik tanah air serta antarabangsa. - Astro AWANI/Fareez Azman
PERTUNJUKAN muzikal sepanjang 120 meter dengan pelbagai genre muzik tanah air serta antarabangsa.
Itu keunikan tarian air pancut di 99 Wonderland Park Wildlife in the City di Selayang yang menjadi tarikan buat warga Lembah Klang.
Jika sebelum ini kita biasa melihat pertunjukan air pancut di kawasan KLCC serta di Taman Tasik Titiwangsa, namun kali ini ia ternyata berbeza.
Selain menjadi air pancut terpanjang di Malaysia, pertunjukan 'tariannya' ditambah pula dengan alunan muzik tempatan sudah tentu memberi satu pengalaman mengujakan, terutama apabila beriadah bersama keluarga.
Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan JL99, Datuk Seri Jeff BK Lee, idea membina air pancut itu adalah bagi meningkatkan lagi produk pelancongan di Lembah Klang.
"Kita nampak di Kuala Lumpur bila malam, tidak ada banyak tempat kita boleh pergi.
"Sebab itu saya buat idea seperti ini, supaya semua orang boleh datang," katanya ketika sesi lawatan media di sini pada Sabtu.
Menggunakan teknologi daripada China, jelasnya, kos pembinaan air pancut itu menelan belanja kira-kira RM7 juta.
Bagi memastikan setiap pertunjukkan berjalan lancar, bilik kawalannya dijaga oleh beberapa kakitangan dan jurutera dari Beijing.
"Air pancut ini adalah yang terbesar ketika ini, 120 meter panjangnya dan lebarnya pula 20 meter.
"Kita mainkan lagu, sekarang dekat 30 lagu kita ada. Kita ada lagu tempatan seperti lagu Melayu, Kantonis, Bollywood dan juga Arab.
"Kami pun dah bersedia dengan lagu Hari Raya.
"Harap ramai akan datang dan tengok, memang lain dari yang lain," katanya lagi.
Tambah Jeff, bagi memastikan warga Lembah Klang tidak terlepas peluang, sempena bulan Ramadan, pertunjukan air pancut itu akan diadakan bermula jam 8.30 malam setiap hari.
Selain tarikan air pancut, pengunjung juga berpeluang memberi makan pelbagai jenis haiwan liar seperti tapir, buaya tembaga, rusa, beruang matahari dan ikan arapaima gergasi.

Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#air pancut #99 Wonderland Park #Selayang #Lembah Klang #Jeff BK Lee #arapaima #99 Wonderland Park Wildlife in the City #hari raya #Ramadan