WAKTU sudah melepasi tengah malam ketika Mohammad Asif duduk bersama sekumpulan rakan di sebuah restoran tepi jalan di bandar Quetta, Pakistan awal minggu ini.

Seperti orang lain, Asif dan rakan-rakannya akan berada di situ sehingga jam 4 pagi, berbual dan ketawa sambil menikmati teh panas.

Di Quetta, ibu kota wilayah Balochistan, berkumpul dengan rakan dan keluarga di restoran tepi jalan selepas berbuka puasa dan berada di situ sehingga waktu sahur, telah menjadi tradisi.

Orang ramai akan mula menuju ke restoran biasanya selepas mereka selesai dengan solat tarawih.

Tradisi berkumpul untuk "chai dan gup shup" (teh dan gosip) bukan sahaja terhad di Quetta tetapi menjadi kelaziman di kebanyakan bandar utama di Pakistan.

"Selepas berbuka puasa, orang ramai keluar dengan rakan-rakan, dengan saudara-mara sehingga sahur, ia adalah cara untuk meluangkan masa untuk mereka," kata Asif kepada Arab News di Chai Kada, sebuah restoran teh terkenal yang terletak di Jalan Samungli di Quetta.



Pakistan ialah pengimport teh antarabangsa terbesar di dunia, membelanjakan lebih daripada AS$600 juta untuk produk itu setiap tahun.

Menurut Persatuan Teh Pakistan, pada setiap tahun negara itu mengimport 250 juta kilogram teh.

Walaupun tekanan inflasi dan cuaca sejuk di Quetta, orang ramai masih berpusu-pusu ke restoran hingga larut malam, dengan vendor dan pelayan mengatakan mereka perlu menggandakan bekalan teh dan susu mereka untuk memenuhi permintaan.

“Pada hari biasa, kami menempah 100 kilogram susu tetapi pada bulan Ramadan, kami meningkatkan tempahan susu kepada 200 kilogram dari ladang tenusu kerana ramai pelanggan yang datang selepas solat tarawih,” kata Khursheed Ahmed, pembuat teh.

Kebiasaannya, terdapat 18 jenis teh dalam menu tetapi chai Kashmiri, chai tandoori, teh hijau, kopi dan chai coklat adalah minuman yang paling digemari pada bulan Ramadan.