LIFESTYLE
Tekanan jejaskan keupayaan kawal emosi dalam kalangan individu bermasalah mental - Kajian

Tekanan akut boleh menjejaskan keupayaan otak untuk mengawal emosi, terutamanya dalam kalangan individu yang mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan dan gangguan personaliti sempadan. - Foto hiasan
SYDNEY: Tekanan akut boleh menjejaskan keupayaan otak untuk mengawal emosi, terutamanya dalam kalangan individu yang mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan dan gangguan personaliti sempadan, menurut kajian di Australia pada Khamis, lapor Xinhua.
Kajian yang diterbitkan oleh Universiti Edith Cowan (ECU) di Australia itu menyatakan bahawa tekanan boleh menjejaskan fungsi eksekutif otak secara sementara, iaitu proses mental seperti ingatan kerja, kawalan dorongan dan fleksibiliti, penting untuk mengawal emosi dan membuat keputusan dalam situasi mencabar.
"Fungsi eksekutif ini amat penting untuk mengawal tindak balas emosi, khususnya dalam situasi yang mencabar," kata pelajar Sarjana ECU, Tee-Jay Scott, penulis utama kajian yang diterbitkan dalam Journal of Affective Disorders Reports.
Penemuan kajian menunjukkan bahawa individu yang mengalami gangguan berkaitan tekanan mungkin lebih terdedah kepada gangguan fungsi akibat tekanan, walaupun tanpa diagnosis rasmi, kata Scott.Pasukan penyelidik mengkaji 17 kajian antarabangsa dan mendapati tekanan memberi kesan ketara terhadap ingatan kerja dalam kalangan individu yang mengalami kemurungan serta melemahkan kawalan dorongan dalam kalangan mereka yang mengalami gangguan personaliti sempadan.
Penemuan ini juga mungkin menjelaskan mengapa sesetengah individu kurang memberi tindak balas positif terhadap rawatan seperti terapi tingkah laku kognitif, yang bergantung kepada fungsi kognitif tersebut, kata Profesor Joanne Dickson dari ECU dan pengarang bersama kajian itu.
"Jika tekanan akut mengganggu proses mental yang menyokong kawalan emosi, ia boleh menjejaskan keupayaan seseorang untuk mendapat manfaat daripada rawatan ini, terutama ketika mereka berada dalam keadaan tertekan yang tinggi," katanya.
Para penyelidik mencadangkan supaya rawatan yang lebih fleksibel dibangunkan dengan mengambil kira kesan tekanan terhadap fungsi otak, serta mencadangkan agar kemahiran kognitif diperkukuh terlebih dahulu sebelum menjalani sesi terapi yang berintensiti emosi tinggi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami