MERSING: Tanaman pokok ru di Taman Eko Rimba Teluk Arong, di sini yang berinspirasikan landskap di Pulau Nami, Korea Selatan akan menjadi tarikan baharu pelancongan di negeri ini.

Pengarah Perhutanan Negeri Johor Datuk Salim Aman berkata, pihaknya mengambil inspirasi daripada landskap itu memandangkan Pulau Nami sangat terkenal dalam kalangan pelancong dari seluruh dunia.

"Pihak kami memilih pokok ru ditanam di sekitar Taman Eko Rimba bagi memastikannya menjadi tarikan baharu kepada pengunjung. Taman ini masih dalam proses pembangunan dan akan dilengkapi dengan kemudahan awam termasuk tandas.

"Kita turut mencadangkan agar konsep perkhemahan kereta akan dibangunkan di taman berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Penubuhan Taman Eko Rimba Telok Arong oleh Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad di sini hari ini.

Foto: Facebook Hasni Mohammad

Beliau berkata terdapat empat komponen pembangunan di kawasan tersebut yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun iaitu Kompleks Hutan Taman Negeri Arong, trek pendakian Gunung Arong, kawasan restorasi dan Taman Eko Rimba Teluk Arong.

Mengulas lanjut, Salim berkata pusat ekopelancongan itu sekali gus mampu memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

Sementara itu, Hasni berkata selain sektor pelancongan, sebuah pusat pengajian tinggi berasaskan bidang marin juga berpotensi untuk dibangunkan di daerah itu.

"Saya bersama-sama Pegawai Daerah Mersing (Mohd Radzi Mohd Amin) telah berbincang mengenai pusat pengajian tinggi ini (pembangunan). Ia akan menyerlahkan lagi khazanah negeri ini sekali gus meningkatkan pembangunan (ekonomi) setempat," katanya.

-- BERNAMA