Terap elemen etnik, pelitup muka BORNEONATIVE cipta kelainan

Astro Awani
Jun 18, 2020 14:02 MYT
BORNEONATIVE tidak ketinggalan mengikut trend menghasilkan corak menarik pada alat pelindung keselamatan ini yang biasanya kosong dan bosan. -Gambar Astro AWANI
Nilai estika yang ditampilkan dalam setiap rekaan dan karya BORNEONATIVE memberi nafas baharu dalam landskap fesyen negara.
Kebiasaannya corak-corak bermotifkan etnik sering kali digambarkan dalam bentuk tradisional dan konservatif.
Namun, jenama yang tidak asing lagi di Bumi Kenyalang itu mentransformasikan idea tersebut menjadi lebih segar dan unik bukan sahaja dalam penghasilan baju, malah terkini dengan idea rekaan pelitup mukanya yang menarik.
Perintisnya Allen Nguling Charlie tidak mensia-siakan bakat melukisnya bagi membawa kelainan dalam berfesyen, dalam masa sama turut menjadikan idea itu sebagai satu penanda aras baharu.
“Inspirasi saya adalah daripada normal baharu ini di mana dalam pasaran yang kita biasa lihat adalah pelitup muka biasa dan kosong tanpa corak.
Jadi, saya melihat ini sebagai satu peluang untuk saya mempromosikan jenama saya sekali gus mereka satu corak khas dari Sarawak,” katanya.
Jelasnya, meskipun tidak dinafikan ramai pengusaha terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan, tetapi bagi dirinya, dia melihat tempoh itu sebagai satu peluang yang harus bijak dimanfaatkan bagi melakukan nilai tambah pada produk sedia ada.
Ujar Allen lagi, karya serta produk yang dihasilkan melalui jenama itu juga sedikit-sebanyak mengangkat nilai tradisi yang menjadi kebanggaan anak Sarawak.
“Jadi ia akan mempromosikan Sarawak secara tidak langsung apabila pelanggan memakai pelitup muka itu dan semestinya orang tahu ia berasal dari Sarawak,” beritahunya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Tambah beliau, rekaan etnik tersebut ada pasarannya yang tersendiri tidak kira di dalam mahupun di luar negara.
Justeru, penting baginya untuk kekal berdaya saing bagi kelangsungan perniagaan dan ini termasuk memanfaatkan teknologi digital dalam mempromosikan produknya.
“Pada dasarnya, setiap reka bentuk BORNEONATIVE mempunyai kisahnya tersendiri. Corak-corak itu adalah berdasarkan cerita rakyat, lagu etnik Iban, Bidayuh dan saya cuba untuk merangkumi semua etnik yang ada di Borneo termasuk di Sabah,” ujarnya.
#Allen Nguling Charlie #Astro Awani #AWANI Sarawak #Bidayuh #BORNEONATIVE #Fesyen Etnik #Iban #Orang Ulu #pelitup muka #Sabah #Sarawak