GAYA HIDUP
Terperdaya video AI, warga emas didakwa rugi ribuan ringgit ketika bercuti
Insiden ini menimbulkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan AI dan pengguna media sosial digesa melaporkan kandungan palsu agar tindakan segera dapat diambil oleh platform terlibat. - TikTok @ybda02
KUALA LUMPUR: Dalam dunia digital yang semakin canggih, kecerdasan buatan (AI) kini mampu menjana video dan imej yang kelihatan sangat meyakinkan sehinggakan ramai tidak menyedari ia palsu.
Ringkasan AI
- Penggunaan teknologi AI yang semakin canggih telah menyebabkan penyebaran kandungan palsu seperti video dan imej yang sukar dikenalpasti, hingga menipu pengguna media sosial.
- Tular baru-baru ini, sepasang warga emas dari Kuala Lumpur didakwa terpedaya dengan video janaan AI mengenai kereta kabel pelancongan palsu dari Pengkalan Hulu ke Baling, menyebabkan mereka kerugian dan melakukan perjalanan jauh.
- Insiden ini menimbulkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan AI dan pengguna media sosial digesa melaporkan kandungan palsu agar tindakan segera dapat diambil oleh platform terlibat.
Tanpa sedar, pengguna mungkin mudah terpedaya, terutamanya apabila kandungan tersebut tersebar di media sosial dengan ribuan tontonan dan komen yang seakan-akan mengiyakannya.
Baru-baru ini tular di media sosial, apabila pengguna Threads berkongsi kisah, mendakwa sepasang warga emas dari Kuala Lumpur kerugian ribuan ringgit selepas terperdaya dengan video tular janaan AI.
Pasangan itu didakwa terpengaruh dengan video palsu yang mempromosikan kononnya terdapat kereta kabel pelancongan baharu dari Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu, Perak ke Baling, Kedah.
Kandungan video berkenaan menunjukkan paparan dramatik seperti liputan media dan wawancara pelancong yang meyakinkan, dipercayai menjadi faktor utama pasangan tersebut terperdaya.
Pasangan itu didakwa melakukan perjalanan sejauh lebih 400 kilometer ke Perak kerana ingin merasai pengalaman menaiki kereta kabel seperti yang dipaparkan dalam video berkenaan.
Pengguna Threads itu mendakwa, sebaik tiba di Pengkalan Hulu, pasangan itu dimaklumkan bahawa tiada perkhidmatan kereta kabel sedemikian wujud, sebelum menyedari mereka sudah terperdaya.
Mereka juga didakwa tidak memaklumkan perjalanan berkenaan kepada anak-anak.
Tidak dijelaskan perincian kerugian mencecah ribuan ringgit seperti yang didakwa, namun ada netizen berpendapat ia mungkin membabitkan kos keseluruhan percutian yang ditempah awal termasuk kenderaan dan penginapan selama beberapa hari.
Insiden ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat mengenai peningkatan penggunaan teknologi AI untuk menghasilkan kandungan palsu yang semakin sukar untuk dikenal pasti.
Pengguna media sosial turut digesa melaporkan kandungan palsu kepada platform berkenaan agar tindakan penghapusan dapat dilakukan dengan segera.