Tuah si peluncur air, kahwini wanita Inggeris persis bintang Hollywood

Agensi
Disember 20, 2018 14:27 MYT
Robinson akui jatuh hati dengan sifat baik hati dan penyayang Khamid. - Instagram @pollyoddsocks
MUNGKIN ada dalam kalangan anda yang terfikir untuk tukar kerjaya selepas membaca kisah ini.
Tetapi jodoh itu bukan sesuatu yang boleh dirancang. Sebaliknya, yakinlah jodoh yang dihantar kepada kita adalah yang terbaik.
Heboh di media sosial Indonesia sejak beberapa hari ini, kisah seorang jurulatih luncur air di Bali, yang menikahi seorang gadis cantik berambut perang dari Manchester, United Kingdom.
Nur Khamid dan Polly Alexandria Robinson berkahwin dalam satu majlis serba sederhana, 16 Disember lalu di kampung halaman Khamid di Magelang, Indonesia.
Perkenalan mereka bermula pada Ogos 2017, ketika kunjungan Robinson ke Bali. Khamid merupakan orang yang bertanggungjawab mengajar Robinson meluncur air.
Robinson memaklumkan kepada portal Tribun News, dia jatuh hati dengan karakter baik hati dan penyayang Khamid, selain menyifatkan lelaki berusia 26 tahun itu sebagai seorang individu yang tidak mementingkan diri serta sangat rajin.
Khamid pula berkata, dia sendiri masih tidak percaya akan berjodohan dengan gadis berusia 21 tahun itu.
"Bukan setakat orang luar, ibu bapa saya pun selalu meremehkan hubungan kami dan merasakan tidak mungkin kami ada jodoh," kata Khamid yang turut memiliki sebuah restoran di Bali.
Ini bukanlah kali pertama perkahwinan dua budaya seperti ini menjadi tular di Indonesia.
Sebelum ini, seorang lelaki yang juga pemandu pelancong di Padang, Bayu Kumbara, mengahwini wanita Inggeris, Jennifer Brocklehurst pada 2015.
Mereka kini hidup bahagia dan dikurniakan seorang anak perempuan, Olivia Azzahra.
#Bali #Indonesia #lelaki #luncur #media sosial #Nur Khamid #pelancong #perkahwinan #Polly Alexandria Robinson #United Kingdom #wanita