Tujuh petua produktiviti daripada Elon Musk

Israr Khalid
Disember 26, 2018 06:14 MYT
SpaceX, Tesla, Boring Company, Neuralink semuanya hasil buah fikiran Musk. - Facebook/Elon Musk News
ADA yang kata dia genius, ada yang kata dia gila. Namun selalunya orang genius memang gila.
Ada juga menggelarnya sebagai Tony Stark/Iron Man dunia nyata.
Merevolusi industri penerbangan angkasa dengan SpaceX, mengubah dunia kereta elektrik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, dan memacu bidang neurosains serta pengangkutan dengan Neuralink dan Boring Company adalah kerja-kerja di bawah kendalian Elon Musk.
Baru-baru ini, Musk menggesa kakitangannya di Tesla untuk membuat 'kerja gila' iaitu mula menerapkan jadual kerja syif 24 jam setiap hari untuk menggandakan penghasilan kereta elektrik sedan Model 3 kepada 6,000 unit setiap minggu menjelang Jun.
Menerusi satu emel panjang pada Selasa yang diperoleh Jalopnik, Musk turut mengumumkan penambahan lagi 400 kakitangan seminggu untuk beberapa minggu bagi menyokong hasrat 'gila'nya itu.
Waktu kerja yang panjang telah membangkitkan rungutan dan aduan daripada kakitangan yang mendakwa ia melanggar undang-undang buruh, tetapi Musk nampaknya tidak kisah.
Dalam emel tersebut, Musk juga menggariskan tujuh petua produktiviti yang diamalkannya untuk diterapkan setiap kakitangan dalam memastikan sasaran syarikat dapat dicapai pada masa sama tidak merosakkan kehidupan peribadi masing-masing.
Usahawan berusia 46 tahun itu juga menyeru kakitangannya supaya berkongsi sekiranya ada idea dan cadangan untuk menjadikan kerja di Tesla lebih baik dan cekap.
Sepertimana dikatakan Ketua Pegawai Operasi (COO) SpaceX, Gwynne Shotwell pada Persidangan TED 2018: "Apabila Elon berkata sesuatu, anda perlu diam dan jangan katakan 'Oh, itu mustahil'. Diam, fikir, dan cari jalan untuk laksanakannya."
Berikut adalah petua yang digariskan Musk dalam emelnya:
1. Mesyuarat berformat besar membuang masa orang
"Mesyuarat berlebihan adalah 'penyakit' syarikat-syarikat besar dan selalunya jadi semakin buruk. Tolong buang semua mesyuarat-mesyuarat besar, melainkan anda pasti dengan nilai yang dapat diberikan kepada seluruh audiens daripada mesyuarat tersebut, dan jadikannya mesyuarat yang pendek."
2. Mesyuarat sepatutnya tidak kerap melainkan hal mustahak
"Juga jangan bermesyuarat terlalu kerap, melainkan anda berurusan dengan hal yang tersangat mustahak. Kekerapan bermesyuarat perlu semakin berkurangan apabila hal mustahak itu sudah diselesaikan."
3. Kalau anda tidak perlu berada dalam sesuatu mesyuarat, keluar.
"Keluar dari mesyuarat atau hentikan panggilan telefon sejurus anda dengan jelas tidak menyumbang apa-apa nilai tambah. Tidak biadap untuk keluar, tetapi biadap untuk membuatkan seseorang terus duduk dan membuang masa mereka."
4. Elak penggunaan istilah
"Jangan guna akronim atau perkataan merepek untuk objek, perisian atau proses di Tesla. Secara umumnya, apa sahaja yang memerlukan penjelasan membataskan komunikasi. Kita tidak mahu orang menghafal glosari hanya untuk berfungsi di Tesla."
5. Jangan biarkan struktur hierarki menjejaskan kecekapan
"Komunikasi sepatutnya bergerak melalui jalan yang paling ringkas diperlukan untuk menyiapkan sesebuah kerja, buat menerusi 'rantaian arahan' (chain of command). Mana-mana pengurus yang cuba menerapkan komunikasi rantaian arahan akan diminta bekerja di tempat lain."
6. Jika anda perlu berhubung dengan seseorang, lakukan secara terus.
"Punca utama berlakunya isu adalah komunikasi yang kurang baik. Untuk menyelesaikannya adalah dengan membiarkan aliran bebas komunikasi antara setiap peringkat dan lapisan. Jika, dalam usaha menyiapkan kerja melibatkan antara bahagian, penyumbang individu perlu bercakap dengan pengurus mereka, yang perlu bercakap kepada seorang pengarah, yang perlu bercakap dengan seorang Naib Presiden (VP), yang perlu bercakap kepada VP lain, yang perlu bercakap kepada seorang pengarah, yang bercakap kepada seorang pengurus, yang bercakap kepada seseorang yang melaksanakan kerja tersebut, maka perkara bodoh akan berlaku. Ia mesti OK untuk orang bercakap terus dan pastikan kerja terlaksana."
7. Jangan bazir masa ikut peraturan bodoh
"Secara amnya, gunakan akal (common sense) sebagai panduan anda. Jika mengikut 'peraturan syarikat' yang jelas mengarut dalam sesuatu situasi, maka peraturan itu perlu diubah."
#Boring Company #Elon Musk #hierarki #komunikasi #MASA #mesyuarat #Model 3 #Neuralink #Peraturan #petua #produktiviti #SpaceX #Tesla #Tips