“UMUR awak sudah 40 tahun ke? Saya nampak macam baru 30 tahun, nampak muda lagi.”

Andai kata dialog ini ditujukan kepada anda, pasti ramai yang tersenyum gembira, gembira wajah yang sudah masuk ‘four series’, orang kata masih muda, masih nampak ‘three series’.

Begitupun, lelaki ini, Denis Vashurin, sekali pandang, ramai menyangka dia masih remaja, berumur belasan tahun.

Namun hakikatnya, Denis lahir pada tahun 1987, bermakna umurnya kini adalah 32 tahun namun lihat pada wajah dan tubuhnya, ramai mengatakan usianya baru 14 ke 15 tahun.

Denis lebih selesa tinggal di kampung, melakukan aktiviti kegemarannya di sana.

Sebelum ini orang tidak begitu mengenalinya namun lelaki warga Rusia itu menjadi sensasi sekelip mata selepas temu bual dengan personaliti YouTube, Vasya na sene.

Ramai yang kagum dengan ‘awet muda’ Denis namun lelaki yang menetap di kampung kecil di wilayah Krasnoyarsk tidaklah begitu gembira dengan apa yang berlaku kepadanya.

Disebabkan itu jugalah, dia lebih gemar tinggal di kampung, tidak berpindah ke bandar dan menjalani kehidupan lebih mendamaikan dan melakukan hobinya - memburu dan memancing.

Dalam temu bual bersama Vasya seperti dilaporkan guardian.ng, Denis mendedahkan ibu bapanya sudah melihat seperti ada sesuatu tidak kena padanya sewaktu dia masih kecil.

“Saya selalu merupakan pelajar paling kecil dalam kelas namun itu tidak mengganggunya pada waktu itu. Saya sangat aktif, boleh lakukan apa yang kanak-kanak lain lakukan malah tak pernah dibuli juga,” katanya.

Walaupun nampak muda, umur badannya sama seperti orang lain seusianya.

Begitu, ketika dia semakin berusia, perbezaan dengan rakan sebaya dilihat semakin ketara dan apabila mencapai usia remaja, pada waktu itulah tumbesarannya terhenti.

“Bila saya tahu fizikal saya tidak lagi akan berubah, saya berasa tidak senang hati. Saya terfikir, apa yang akan jaid selepas ini, bagaimana dengan kehidupan saya nanti.

“Setakat ini saya berjaya menjalani kehidupan normal namun kadangkala terpaksa buktikan umurnya kepada orang lain seperti insiden dengan polis sebelum ini. Mereka syak saya memalsukan lesen memandu.

“Selepas saya buktikan umur saya, mereka mula bergurau berkaitan wajah muda saya dan saya rasa itu tidak sesuai untuk diketawakan,” ujarnya.

Denis pantas menjadi sensasi dan popular selepas videonya tular dalam YouTube.

Walaupun nampak muda, umur badannya sama seperti orang lain seusianya dan dari segi sikap dan personalitinya pula, rakan dan teman wanitanya memanggilnya "datuk".

Lelaki berusia 32 tahun itu telah bersama dengan teman wanitanya selama empat tahun sekarang.

Mujur mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain, jadi dia tidak perlu membuktikan usia sebenar kepada teman wanitanya itu.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!