Vanila, aroma paling menyenangkan di dunia

Astro Awani
Julai 3, 2022 09:08 MYT
Selain vanila, kajian itu mendedahkan bau yang berada di kedudukan kedua ialah ethyl butyrate, iaitu bau seperti buah peach. - Gambar hiasan Pexels
SETIAP orang mempunyai pilihan bau kegemaran masing-masing dalam kehidupan seharian.
Ini kerana bau boleh mempengaruhi 'mood' seseorang, bukan sekadar membangkitkan semangat dan keceriaan, tetapi membuatkan individu tersebut lebih berkeyakinan dan selesa.
Namun, tahukah anda apakah aroma yang dikategorikan sebagai paling menyenangkan di dunia?
Jawapannya ialah vanila!
Ya, penemuan ini diperoleh hasil kajian yang dijalankan oleh rangkaian penyelidik antarabangsa termasuk dari Universiti Oxford dan Institut Karolinska di Sweden melibatkan 235 responden.
Menurut penyelidik, hasil kajian itu secara lebih meluas memberikan bukti bahawa manusia berkongsi keutamaan untuk beberapa bau tanpa mengira latar belakang budaya.
"Secara tradisinya ia dilihat sebagai budaya, tetapi kita boleh menunjukkan bahawa budaya mempunyai sedikit kaitan dengannya (pemilihan bau).
"Sekarang kita tahu bahawa terdapat persepsi bau sejagat yang didorong oleh struktur molekul dan itu menjelaskan mengapa kita suka atau tidak terhadap bau tertentu," kata penyelidik di Jabatan Neurosains Klinikal Institut Karolinka, Artin Arshamian seperti dilapor media antarabangsa.
Selain vanila, kajian itu mendedahkan bau yang berada di kedudukan kedua ialah ethyl butyrate iaitu bau seperti buah peach.
Dalam kajian tersebut, responden diminta menilai bau pada skala yang menyenangkan kepada tidak menyenangkan.
Bau yang paling tidak digemari ialah asid isovalerik, yang boleh didapati dalam makanan seperti keju, susu soya, jus epal serta peluh kaki.
Penerbitan kajian itu dibuat selepas penyelidikan berasingan menemui bukti bahawa golongan elit diraja di Baitulmaqdis sekitar 2,500 tahun lalu dikatakan memasukkan wain mereka dengan vanila, yang mungkin diimport dari India atau Afrika Timur.
#Bau paling best di dunia #Vanila bau paling menyenangkan #Bau paling tidak menyenangkan #aroma paling menyenangkan