DUA buah video yang tersebar di laman sosial sejak pagi tadi menjadi perbualan hangat pengguna, apatah lagi topik yang diperkatakan mereka cukup dekat dengan anak muda masa kini.

Video pertama dimuat naik pengguna Facebook dengan nama Farah Elmo.

Video itu memperlihatkan seorang wanita yang membahasakan dirinya sebagai 'Mami' dan cukup tebal dengan loghat Pulau Pinang, membidas golongan lelaki yang mahu berkahwin namun tidak mahu memikul tanggungjawab dan berusaha mencari rezeki.

Video kedua pula adalah jawapan kepada video wanita tersebut, dan ia dirakam oleh dua lelaki muda, namun tidak dapat dipastikan sumber video tersebut.

Jika 'Mami' membidas golongan lelaki, jawapan yang diberi dua lelaki itu pula tidak kurang pedasnya.

Kata mereka, mengumpul wang adalah cabaran yang cukup hebat bagi lelaki di zaman ini, apatah lagi kaum wanita dlilihat cenderung meletakkan harga hantaran yang tinggi.


Netizen seperti biasa, mempunyai pendapat masing-masing dan ini menjadikan laman sosial cukup 'meriah' dengan luahan pelbagai buah fikiran.

Kedua-dua video itu dikongsi di sebuah akaun Facebook yang menggunakan nama Kazitaki Ayie, dan sudah mengumpul lebih 900,000 tontonan.

Apa pun yang pasti, baik pihak lelaki mahupun wanita, kedua-duanya melontarkan pendapat yang berasas.

Terpulanglah kepada individu, pendapat mana yang mahu diterima, dan yang mana mahu ditolak.