Kaum wanita hari ini bukan sahaja berpeluang melancong dan mengembara untuk menghayati keindahan alam dan membeli-belah.

Malah wanita kini lebih berani untuk menerokai setiap pelusuk benua dan meninggalkan impak yang lebih besar kepada dunia.

Menerusi persidangan Zafigo X 2019, para pengembara wanita berkongsikan inspirasi dan idea buat wanita lain yang ingin mengembara dunia.

Menurut pengasasnya, Datin Seri Paduka Marina Mahathir, dengan pengalaman yang dikongsikan pengembara lain, wanita di negara ini berpeluang untuk menerokai pengembaraan seperti mereka.

“Kami membawakan ramai panelis dari beberapa negara yang menceritakan bukan sahaja tentang pelancongan tetapi apa yang mereka hayati dan pelajari sepanjangan pengembaraan itu.

“Berdasarkan pengalaman anjuran kami dua tahun lepas, apabila wanita melancong, mereka bukan hanya melihat tempat yang berlainan malah mereka mahu pengalaman yang lebih mendalam.

“Mereka mahu mempelajari tentang kelainan kebudayaan dan memberi impak kepada komuniti di sesuatu tempat mereka mengembara,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Penganjuran yang memasuki tahun ketiga ini menampilkan 27 panelis yang berkongsikan pengalaman pengembaraan mereka.

Antaranya termasuk Marin Minamiya yang mencetuskan inspirasi kepada wanita dengan kejayaan menawan tujuh puncak dunia termasuk Gunung Everest.

Turut hadir berkongsikan pengalaman pengembaraan sebagai seorang ahli politik adalah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Zafigox 2019 yang berlangsung ibu negara bakal berakhir esok.