Walaupun kehadiran pereka fesyen dari Asia bukan perkara baharu pada Minggu Fesyen New York yang bermula pada 7 Feb di Lincoln Center, namun penyertaan pereka kelahiran Kelantan Zang Toi mendapat tempat tersendiri dalam kalangan pengunjung ke pameran busana yang terkenal di dunia itu.

Pada 13 Feb, Toi, 51, yang mempunyai ramai pelanggan ternama, termasuk beberapa diva dari Hollywood, mempersembahkan rekaan cukup menarik, dengan pemilihan warna serta corak bercirikan motif Rusia yang menambat hati ramai peminat fesyen yang berselera tinggi .

"Ia merupakan sentuhan moden terhadap zaman pemerintahan maharaja Rusia, yang menghidupkan kembali gaya silam penuh keanggunan 'telur Faberge' dan Istana Peterhof," kata Toi dalam ucapan ketika memperkenalkan ciptaan terkininya yang menampilkan kembali kehebatan berpakaian pada era pemerintahan maharaja Rusia suatu ketika dahulu.

Ketika model memperagakan ciptaan terkini Toi itu, para hadirin serta krew televisyen yang memikul kamera berat, hampir-hampir terjatuh akibat berlanggar sesama sendiri kerana berebut-rebut untuk merakam gambar di auditorium yang penuh sesak itu.

Pertunjukan dimulakan dengan penampilan model yang memperagakan kot Faberge loropiana kashmir berwarna amber yang sungguh menawan.

Model berikutnya memperagakan gaun labuh daripada sutera Czarina berwarna kecubung, yang kelihatan begitu mewah apabila dipadankan dengan anting-anting berbentuk candelier berwarna emas terang yang menghiasi telinganya.

Seorang model lelaki kemudian tampil dengan berpakaian kot dan seluar daripada baldu kapas yang menjadi pakaian maharaja dahulu kala berserta baju daripada satin sutera berwarna nilam dan topi Ascot.

Selepas itu, tampil pula model yang memperagakan kot Faberge daripada baldu sutera beropol bunga serta gaun Faberge daripada satin sutera beropol bunga daripada baldu sutera.

Pada penghujung pertunjukan, Toi tampil untuk memberi penghormatan kepada hadirin sambil membongkok hormat dan serentak dengan itu, para hadirin bangun untuk memberi penghormatan dan penghargaan kepada beliau.

"Saya tidak pernah ke Malaysia atau Asia, tetapi kerana Zang (Toi), saya tahu lokasi sebenar Malaysia dan kedudukannya dalam ekonomi dunia," kata Richard Simpson, peminat fesyen yang menghadiri pertunjukan itu kepada Bernama.

Kerjaya dan kejayaan cemerlang Toi dalam bidang rekaan fesyen menjadi sumber inspirasi bukan sahaja kepada rakyat Malaysia, tetapi juga ramai warga Asia lain, hingga ramai daripada mereka berjaya mencipta nama dalam pelbagai industri dan sektor.

Ketika berusia 18 tahun, Toi meninggalkan Malaysia untuk mengikuti pengajian di Parson School of Designs di New York serta pernah menjalani latihan perantis bersama Mary Jane Marcasiano dan RonaldusShamask.

Beliau memulakan perniagaan sendiri pada 1989 dengan menjual koleksi kain sarung dan pakaian lain.

Pada 1991, Toi memenangi Anugerah Pereka Muda Mouton-Cadet dan kemenangan ini memeranjatkan banyak pihak kerana ia disertai ramai pereka fesyen ternama.

Selepas itu, beliau menerima anugerah kecemerlangan daripada Peguam Umum New York City Mark J. Green kerana sumbangan dan pencapaiannya dalam bidang kesenian.

Produk berjenama Zang Toi dijual di beberapa butik dan gedung beli-belah terkemuka dunia, termasuk Nordstrom serta butiknya di Malaysia.

Toi juga melibatkan diri dalam perniagaan produk solekan yang menggunakan jenama Amazing Cosmetics.