KUALA LUMPUR: Di Tanah Suci, jutaan manusia hadir dengan harapan dan doa masing-masing. Ada yang merintih, ada yang memohon keampunan, dan tidak kurang yang mencari petunjuk hidup.
Namun bagi penyanyi dan personaliti televisyen Alif Satar, doa yang dilafazkan dengan penuh tawaduk ketika mengerjakan ibadah haji bukan sekadar harapan peribadi, sebaliknya, menjadi titik permulaan kepada sebuah amanah besar yang kini direalisasikan melalui penubuhan syarikat logistik, WE Express.
Advertisement
Kisahnya bermula apabila Alif bertemu empat jemaah lain - Datuk Amhari Efendi, Norhisham Osman, Zharif Johor dan Dr Mu’az Omar di Tanah Suci semasa menunaikan haji pada 2023.
Lima sahabat ini berkongsi keinginan yang sama – mahu memperbaiki diri, mendekatkan diri kepada Allah SWT serta berazam menjadi insan yang lebih baik.
Pada fasa kehidupan hari ini, kelima-lima mereka sepakat bahawa matlamat utama bukan lagi semata-mata mengejar dunia, sebaliknya, berbakti kepada agama, masyarakat dan keluarga.
Satu keinginan besar yang sering bermain di hati mereka adalah untuk kembali menjejakkan kaki ke Mekah dan Madinah setiap tahun, andai dikurniakan rezeki dan izinNya.
Persoalannya, bagaimana untuk memungkinkan hasrat itu menjadi kenyataan?
Dalam pertemuan dengan Astro AWANI pada Selasa, Alif berkongsi mengenai aspirasi dan cita-cita besar beliau bersama empat rakan perniagaannya itu.
Turut serta dalam wawancara itu ialah Amhari, Norhisman dan Zharif.
Membuka cerita terilhamnya WE Xpress, kata Alif, permulaan kembara beliau dan rakan-rakannya itu bertitik tolak pada doa yang dipanjatkan bersungguh-sungguh semasa mengerjakan haji.
Tanpa berselindung, riak pada wajah Alif jelas menggambarkan keyakinan dan keteguhan iman adalah punca rezeki diturunkan oleh Allah SWT.
"Mukjizat doa itu sesuatu yang sukar kita bayangkan. Kita hanya perlu meminta dan berusaha, selebihnya itu kerja Allah. Yang penting jangan putus berdoa dan berusaha," kongsi Alif berkongsi cerita.
Doa yang tidak henti-henti dipanjatkan mereka ialah memohon petunjuk daripada Allah SWT agar dibukakan jalan untuk sentiasa berada di Tanah Suci, bukan sekadar sebagai tetamu, tetapi sebagai hamba yang memberi manfaat.
Daripada doa yang dipanjatkan dengan penuh keikhlasan itulah, Allah mengilhamkan satu jalan – satu bentuk khidmat yang akhirnya menjadi asas kepada penubuhan WE Express.
Menurut Alif, idea membangunkan WE Xpress lahir daripada keinginan untuk terus berbakti kepada jemaah selepas kembali ke tanah air, sambil menjadikan keberadaan mereka di Tanah Suci sebagai satu amanah berpanjangan.
Berbekalkan niat tersebut, Alif bersama lima sahabatnya itu memulakan langkah membina perniagaan penghantaran barangan khusus untuk jemaah haji dan umrah dari Tanah Suci ke negara asal.
Bagi Alif, WE Xpress bukan sekadar perniagaan, sebaliknya satu manifestasi kesyukuran atas doa yang dimakbulkan serta kepuasan setelah melalui pengalaman haji yang mengubah jalan hidupnya.
“Kiriman itu amanah,” jelasnya mengenai prinsip dan tunjang kepada keseluruhan operasi syarikat.
Pada peringkat awal, WE Xpress memberi tumpuan kepada jemaah Malaysia sebelum berkembang kepada jemaah dari Singapura, Brunei dan Indonesia, selari dengan permintaan yang semakin meningkat.
Menurut Norhisman, ketika ini, WE Xpress mengendalikan sehingga 10 tan barangan sebulan, dengan jumlah pelanggan mencecah kira-kira 5,000 jemaah, sekali gus mencerminkan pertumbuhan yang konsisten sejak penubuhannya.
"Operasi syarikat dibangunkan secara sistematik dan jangka panjang, melibatkan pengurusan logistik berperingkat bermula daripada pengumpulan barangan di Tanah Suci, proses pelepasan dan pengangkutan, sehinggalah penghantaran akhir kepada penerima di tanah air," kata beliau.
Bagi penghantaran peringkat akhir di Malaysia, WE Xpress bekerjasama rapat dengan Pos Malaysia, dengan syarikat itu berperanan sebagai rakan strategik, manakala WE Xpress bertindak sebagai sayap pemasaran dan pemudahcara kepada jemaah.
Menurut Alif, kelebihan WE Xpress terletak pada saiz syarikat yang kecil tetapi fleksibel, membolehkan mereka bertindak pantas dan menyesuaikan perkhidmatan mengikut keperluan jemaah.
Elemen kreativiti turut diterapkan dalam pemasaran dan komunikasi syarikat, memanfaatkan latar belakang Alif dalam dunia seni dan penciptaan kandungan bagi menambah nilai kepada perkhidmatan yang ditawarkan.
Di Arab Saudi, WE Xpress mengendalikan operasi dengan lapan kakitangan tetap, masing-masing empat di Mekah dan empat di Madinah, selain memiliki hab sendiri di Mekah yang dikenali sebagai Souq Al-Kakiyah.
Syarikat itu turut menawarkan perkhidmatan penghantaran pantas, dengan sesetengah kiriman dapat sampai ke destinasi dalam tempoh seawal tiga hari secara door-to-door.
Dalam perkembangan terbaharu, WE Xpress, jelas Norhisham, turut mengembangkan operasinya ke Indonesia, sekali gus membuka ruang baharu kepada syarikat untuk meneroka pasaran yang lebih luas dan mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan logistik jemaah di peringkat serantau.
Pengembangan itu diperkukuh melalui kerjasama strategik bersama dua artis ternama Indonesia, Teuku Wisnu dan Afghan yang kini bergandingan sebagai rakan perniagaan mereka.
Menurut Norhisham, kerjasama tersebut bukan sahaja menguatkan jaringan perniagaan, malah memberi inspirasi kepada mereka untuk meluaskan cabang perniagaan WE Xpress dalam skop lain pada masa hadapan.
“Alhamdulillah, berkat doa dan usaha, kami memanjangkan rezeki bersama rakan seperjuangan di Indonesia.
"Saya fikir kerjasama ini bukan semata-mata perniagaan, tetapi lebih utama semangat membantu jemaah dan umat Islam," tambah Alif.
Dalam perkembangan sama, Amhari pula menegaskan, peranan WE Xpress adalah sebagai pemudahcara kepada jemaah agar mereka tidak dibebani urusan logistik semasa menunaikan ibadah.
“Di WE Xpress, kami ada tanggungjawab. Kami tidak mahu jemaah memikirkan soal penghantaran barangan dari Tanah Suci. Biar mereka melakukan ibadah dengan tenang, urusan pengiriman serahkan kepada kami,” jelasnya.
Amhari juga mengakui, perjalanan membangunkan perniagaan di Tanah Suci dan Indonesia bukan tanpa cabaran, khususnya melibatkan perbezaan budaya kerja dan pendekatan perniagaan.
Namun, pengalaman tersebut mengajarnya bahawa kepercayaan, adab dan kesabaran adalah asas penting dalam membina perniagaan yang mampan serta berintegriti.
WE Xpress kini disifatkan Alif sebagai projek terbesar dan paling mencabar dalam hidupnya setakat ini, malah diibaratkan seperti “menjaga bayi”, memandangkan ia lahir daripada doa yang dimakbulkan ketika mengerjakan ibadah haji.
Setiap musim haji, penglibatan syarikat dalam menguruskan keperluan logistik puluhan ribu jemaah Malaysia turut meninggalkan kesan mendalam kepadanya, yang disifatkan sebagai satu perjalanan luar biasa bersama saudara-saudara haji.
Dengan perubahan landskap pelancongan Arab Saudi serta peluasan ke pasaran antarabangsa, WE Xpress kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya.
Bagi Alif, kejayaan sebenar WE Xpress tidak diukur semata-mata melalui pencapaian perniagaan, tetapi sejauh mana amanah yang dipikul dapat dilaksanakan demi memudahkan urusan ibadah jemaah.