Skip to main content

Dunia

Aktor Shia LaBeouf ditahan, didakwa cederakan dua lelaki di New Orleans

FILE - Shia LaBeouf appears at the photo call for the film "Slauson Rec" at the 78th international film festival, Cannes, southern France, on May 18, 2025. (AP Photo/Natacha Pisarenko, File)
LaBeouf sebelum ini beberapa kali berdepan masalah dengan pihak berkuasa, termasuk ditahan di New York pada 2017 atas tuduhan mabuk di tempat awam dan berkelakuan tidak senonoh. - Gambar AP

NEW ORLEANS: Pelakon ternama Hollywood, Shia LaBeouf, ditahan polis selepas didakwa memukul dua lelaki awal pagi Selasa (17 Feb) ketika sambutan Mardi Gras di sini.

Menurut kenyataan Polis New Orleans, LaBeouf berdepan dua pertuduhan melakukan serangan.

Advertisement

Insiden berlaku sekitar 12.45 pagi di sebuah premis berhampiran French Quarter apabila pelakon itu didakwa mencetuskan kekecohan dan bertindak semakin agresif.

Polis tidak menyatakan jenis perniagaan tersebut.

Seorang pekerja premis cuba mengarahkan LaBeouf keluar, namun sebaik berada di luar, aktor itu didakwa menumbuk seorang lelaki berkali-kali, menurut polis.

Saksi memaklumkan, LaBeouf meninggalkan lokasi sebelum kembali semula dan terus bertindak agresif. 

Beberapa individu cuba menahannya tetapi melepaskannya semula dengan harapan dia beredar.

Lelaki pertama yang dipukul mendakwa, LaBeouf memukulnya sekali lagi selepas kembali ke lokasi. 

Seorang lagi mangsa pula memberitahu polis bahawa aktor itu turut menumbuk hidungnya.

LaBeouf kemudian ditahan oleh orang awam sehingga polis tiba di lokasi.

Aktor berusia 39 tahun itu dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan atas kecederaan yang tidak dinyatakan, sebelum ditahan dan dibawa ke balai polis.

Rekod mahkamah tidak menyenaraikan mana-mana peguam yang mewakilinya, dan pertanyaan media kepada ejen pengurusan LaBeouf juga tidak mendapat maklum balas segera.

LaBeouf sebelum ini beberapa kali berdepan masalah dengan pihak berkuasa, termasuk ditahan di New York pada 2017 atas tuduhan mabuk di tempat awam dan berkelakuan tidak senonoh serta ditahan di Georgia tahun sama atas dakwaan mengganggu ketenteraman dan menghalang tugas polis.

Pada 2020, dia turut berdepan pertuduhan mencederakan dan mencuri di Los Angeles.

Tahun sama, penyanyi dan pelakon FKA Twigs memfailkan saman mendakwa LaBeouf melakukan penderaan fizikal dan emosi sepanjang hubungan mereka. 

Kes itu selesai pada Julai lalu.

LaBeouf, yang mula dikenali menerusi siri Disney Even Stevens, terkenal dengan peranannya dalam Transformers (2007) dan Indiana Jones and the Crystal Skull (2008). 

Dia berkongsi seorang anak perempuan yang lahir pada 2022, bersama pelakon Mia Goth. - Agensi

Must Watch Video