Skip to main content

Dunia

Bintang Hollywood Adrien Brody bawa mesej harapan, hadiah seni ke Sidang Kemuncak Samarkand

Brody menghadiahkan karya lukisannya yang menampilkan seekor tikus kepada Mirziyoyeva pada majlis penutup Sidang Kemuncak Global Mengenai Pelaburan Dalam Kesejahteraan Kanak-Kanak di Samarkand pada Khamis. --fotoBERNAMA
Brody menghadiahkan karya lukisannya yang menampilkan seekor tikus kepada Mirziyoyeva pada majlis penutup Sidang Kemuncak Global Mengenai Pelaburan Dalam Kesejahteraan Kanak-Kanak di Samarkand pada Khamis. --fotoBERNAMA

Advertisement

SAMARKAND: Aktor Hollywood Adrien Brody, yang terkenal menerusi watak ikonik dalam filem “The Pianist” dan siri “Peaky Blinders”, membuat kemunculan khas pada sidang kemuncak kesejahteraan kanak-kanak di sini, dengan menyampaikan mesej penuh harapan dan simpati.

Pemenang Anugerah Akademi sebanyak dua kali yang turut membintangi filem “The Brutalist” itu mengejutkan para delegasi pada majlis penutup Sidang Kemuncak Global Mengenai Pelaburan Dalam Kesejahteraan Kanak-Kanak pada Khamis menerusi ucapan spontan serta hadiah peribadi buat Timbalan Pengarah Pertama Agensi Kebangsaan Perlindungan Sosial Uzbekistan Shakhnoza Mirziyoyeva.

Brody, yang menyapa hadirin dengan ucapan "Assalamualaikum", berkata beliau amat tersentuh dengan usaha para pemimpin dunia dan penganjur dalam meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak rentan.

Mengimbas kembali kehidupan beliau yang dibesarkan di kawasan kejiranan kelas pekerja di New York City, beliau mendedahkan bahawa bapanya, seorang guru sekolah awam, dan ibunya, seorang jurugambar, memainkan peranan penting dalam memupuk kreativiti dan imaginasinya walaupun dalam persekitaran yang mencabar.

Beliau berkata kasih sayang dan dorongan mereka memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupannya, jauh sebelum beliau mencapai kejayaan di Hollywood.

"Kita masing-masing mempunyai tanggungjawab moral untuk sentiasa ada bukan sahaja untuk anak-anak kita sendiri, tetapi juga anak-anak yang kita temukan dalam kehidupan," katanya.

Brody menekankan bahawa mendengarkan suara kanak-kanak, mengiktiraf nilai diri mereka dan menggalakkan keperibadian mereka mampu membantu mereka membina keberanian dan harapan dalam dunia yang semakin berpecah belah.

"Tanpa harapan itu, tidak akan ada kemakmuran. Dan tanpa harapan itu, tidak akan ada perpaduan," katanya.

Menambah sentuhan peribadi pada kemunculannya, Brody menyampaikan sebuah karya lukisannya yang menampilkan seekor tikus kepada Mirziyoyeva, sambil menjelaskan bahawa karya seni itu mencerminkan minat melukis sejak zaman kanak-kanak serta keprihatinannya terhadap golongan yang sering terlepas pandang oleh masyarakat.

Beliau berkata tikus, yang kerap dianggap sebagai makhluk yang tidak diingini, menyimbolkan individu yang sering diabaikan atau disalah erti, termasuk golongan gelandangan, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak yang memerlukan.

"Saya sentiasa merasakan tikus adalah makhluk yang comel dan indah," katanya, sambil membandingkan haiwan berkenaan dengan golongan rentan yang berhak mendapat lebih kasih sayang dan perhatian.

Cenderamata yang tidak disangka-sangka itu menceriakan Mirziyoyeva, yang secara spontan mengaitkan lukisan itu dengan watak animasi popular Tom and Jerry, sambil menyifatkannya sebagai watak kegemaran zaman kanak-kanak yang dikenali merentas generasi.

Tersentuh dengan pemberian berkenaan, Mirziyoyeva berkata beliau mahu lukisan itu dipamerkan di tempat utama di Agensi Kebangsaan Perlindungan Sosial sebagai peringatan harian terhadap misi agensi itu untuk menambah baik kehidupan kanak-kanak.

"Saya mahu lukisan ini diletakkan di bahagian tengah agensi kami, kerana saya mahu ia menjadi peringatan untuk kami, untuk pasukan saya, bagi pasukan besar saya, mengenai sidang kemuncak ini dan mengenai tugas yang kita lakukan untuk kanak-kanak," katanya.

Pertukaran  itu memberikan penutup yang mesra dan menyentuh perasaan bagi sidang kemuncak dua hari berkenaan, yang menghimpunkan pemimpin antarabangsa, pembuat dasar dan pakar bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang kesihatan, pendidikan serta perlindungan sosial kanak-kanak.

Terdahulu, Mirziyoyeva mengumumkan penerimaan Deklarasi Samarkand Mengenai Pelaburan Dalam Kesejahteraan Kanak-Kanak, yang menggesa tindakan nyata dan bukannya sekadar janji bagi memastikan setiap kanak-kanak membesar dalam persekitaran yang memberi dukungan, selamat dan sihat.

Sidang kemuncak berkenaan, yang berlangsung dari 21 hingga 22 Okt di Pusat Kongres Laluan Sutera Samarkand, diakhiri dengan komitmen baharu bagi menambah baik kehidupan kanak-kanak di seluruh dunia.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement