Skip to main content

Dunia

Deva, komposer di sebalik muzik ikonik 'Baasha' meninggal dunia pada usia 75 tahun

Deva turut dikenali sebagai antara individu yang membawa muzik gaana, genre muzik rakyat yang dekat dengan kehidupan masyarakat setempat, ke arus perdana perfileman Tamil. - Gambar /IG Dhivager
Deva turut dikenali sebagai antara individu yang membawa muzik gaana, genre muzik rakyat yang dekat dengan kehidupan masyarakat setempat, ke arus perdana perfileman Tamil. - Gambar /IG Dhivager

Advertisement

Ringkasan AI

  • Komposer muzik terkenal Tamil, Deva, meninggal dunia pada usia 75 tahun akibat komplikasi kesihatan dan serangan jantung di Chennai, India.
  • Deva menghasilkan muzik untuk lebih 400 filem dalam pelbagai bahasa India dan dikenali membawa muzik gaana ke arus perdana perfileman Tamil.
  • Sumbangan beliau diiktiraf menerusi pelbagai anugerah, dan legasi muziknya diteruskan oleh anak serta adik-beradiknya dalam industri muzik.

KUALA LUMPUR: Industri perfileman India kehilangan satu lagi permata seni apabila komposer muzik terkenal Tamil, Deva, meninggal dunia pada usia 75 tahun, Sabtu.

Deva atau nama sebenarnya Devanesan Chokkalingam, menghembuskan nafas terakhir di  Hospital Surya di Kodambakkam, Chennai, Tamil Nadu kira-kira 8.30 pagi (11 pagi waktu Malaysia) selepas mengalami komplikasi kesihatan dan serangan jantung.

Menurut laporan portal tempatan, mendiang dimasukkan ke hospital pagi Sabtu untuk mendapatkan rawatan, namun tidak memberikan respons terhadap rawatan yang diberikan. 

Bagi peminat filem Tamil di Malaysia, nama Baasha pastinya cukup dekat di hati, apatah lagi filem lakonan Rajinikanth itu, turut melonjakkan populariti muzik ciptaan Deva.

Nama Deva cukup sinonim dengan imej penuh karisma Rajinikanth menerusi muzik yang mengiringi penampilan ikonik bintang itu di layar perak, khususnya dalam filem Baasha dan Annamalai.

Tema muzik Baasha bukan sahaja menjadi identiti yang melekat pada watak lakonan Rajinikanth, malah terus dikenang peminat di Malaysia, sekali gus membuktikan pengaruh muzik Deva yang merentasi sempadan bahasa dan kaum.

Selepas kali terakhir membuat persembahan di Malaysia pada 1993 di Stadium Malawati, Shah Alam, Deva kembali pada 2023 menerusi konsert Thenisai Thendral Deva Live in Kuala Lumpur di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beliau kemudian mengadakan konsert 35 Years of Deva di lokasi sama pada 4 Mei 2024, sebelum meneruskan persembahan menerusi Thenisai Baasha Deva Live in Penang di Setia SPICE Arena pada 28 Mac 2026.

Dilahirkan pada 20 November 1950, Deva mencipta nama menerusi karya muzik untuk lebih 400 filem dalam bahasa Tamil, Telugu, Malayalam dan Kannada sepanjang kerjayanya selama lebih tiga dekad.

Deva memulakan kerjaya sebagai komposer filem menerusi Mattukkara Mannaru pada 1986, sebelum meraih perhatian lebih meluas menerusi Manasuketha Maharasa dan Vaikasi Poranthachu, yang ditayangkan pada 1990.

Selain menghasilkan lagu-lagu komersial, Deva turut dikenali sebagai antara individu yang membawa muzik gaana, genre muzik rakyat yang dekat dengan kehidupan masyarakat setempat, ke arus perdana perfileman Tamil.

Dalam satu temuramah mendiang pernah menjelaskan bahawa pengenalan muzik gaana merupakan usahanya untuk membentuk identiti tersendiri dalam industri yang ketika itu didominasi dua komposer terkenal, Ilaiyaraaja dan AR Rahman. 

Menurutnya, persaingan dengan dua tokoh muzik itu mendorongnya mencari pendekatan berbeza supaya karya ciptaannya mempunyai identiti tersendiri. 

Sepanjang kerjayanya, beliau merakamkan ribuan lagu dalam pelbagai bahasa India dan menjadi antara suara paling dikenali dalam industri muzik perfileman negara itu.

Sumbangan Deva dalam industri muzik turut mendapat pengiktirafan menerusi beberapa anugerah, termasuk anugerah Kalaimamani daripada kerajaan Tamil Nadu serta Anugerah Filem Negeri Tamil Nadu bagi muzik filem Aasai.

Legasi muzik beliau turut diteruskan menerusi anaknya, komposer Srikanth Deva, serta adik-beradiknya, Sabesh dan Murali, yang turut berkecimpung dalam industri muzik.

Sumbangannya merangkumi pelbagai genre, daripada lagu klasik hingga muzik pop, sekali gus menjadikannya antara penyanyi playback paling berpengaruh dalam sejarah perfileman India. 

Pemergian beliau menyusul selepas beberapa nama besar dalam industri seni India turut meninggal dunia tahun ini, termasuk penyanyi legenda, Asha Bhosle, pengarah dan pelakon terkenal Tamil, K. Bhagyaraj dan Bharathiraja, sekali gus meninggalkan kesan kepada industri muzik dan perfileman negara itu.

 

 

 

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Siapakah Deva dan apakah sumbangannya dalam industri muzik India? 
    A: Deva, atau nama sebenarnya Devanesan Chokkalingam, ialah komposer muzik terkenal Tamil yang telah mencipta muzik untuk lebih 400 filem dalam bahasa Tamil, Telugu, Malayalam dan Kannada sepanjang lebih tiga dekad kerjayanya.
  • Q: Bilakah dan bagaimana Deva meninggal dunia? 
    A: Deva meninggal dunia pada usia 75 tahun pada hari Sabtu di Hospital Surya, Kodambakkam, Chennai akibat komplikasi kesihatan dan serangan jantung.
  • Q: Apakah karya atau filem yang paling dikenali hasil ciptaan Deva? 
    A: Deva terkenal dengan muzik untuk filem seperti Baasha dan Annamalai, yang turut melonjakkan populariti beliau di kalangan peminat filem Tamil, termasuk di Malaysia.
  • Q: Apakah pengiktirafan yang pernah diterima oleh Deva sepanjang kerjayanya? 
    A: Deva menerima beberapa anugerah termasuk anugerah Kalaimamani daripada kerajaan Tamil Nadu dan Anugerah Filem Negeri Tamil Nadu bagi muzik filem Aasai.
  • Q: Siapakah ahli keluarga Deva yang turut terlibat dalam industri muzik? 
    A: Legasi muzik Deva diteruskan oleh anaknya, komposer Srikanth Deva, serta adik-beradiknya, Sabesh dan Murali, yang juga berkecimpung dalam industri muzik.

Must Watch Video

Advertisement