Skip to main content

Dunia

Lebih 20 pelakon Marvel sertai kempen bebaskan ahli politik Palestin Marwan Barghouti

🚨BREAKING: Marvel stars call for the release of Palestinian leader Marwan Barghouti ✌️  “We express our grave concern at the continuing imprisonment of Marwan Barghouti, his violent mistreatment and denial of legal rights whilst imprisoned. We call upon the United Nations and the Governments of the World to actively seek the release of Marwan Barghouti from Israeli prison.”_IG freemarwannow
Antara yang menandatangani kempen termasuk Ian McKellen, Rebecca Hall, Riz Ahmed, Jason Flemyng, Elliot Page, Hugo Weaving, Zawe Ashton, Emma Corrin, May Calamawy, Brian Cox, Dan Stevens, Rob Delaney dan Kingsley Ben-Adir. - Foto media sosial freemarwannow
Advertisement

ANKARA / ISTANBUL: Lebih 20 pelakon yang pernah membintangi filem dan siri televisyen dunia Marvel menyertai kempen antarabangsa yang menggesa pembebasan ahli politik Palestin Marwan Barghouti, yang ditahan Israel, lapor Anadolu Ajansi.

“Kami menyuarakan kebimbangan serius terhadap pemenjaraan berterusan Marwan Barghouti, layanan ganas terhadapnya serta penafian hak undang-undangnya sepanjang berada dalam tahanan,” menurut kempen dikenali sebagai “Free Marwan Now” menerusi Instagram minggu lepas.

Kempen itu dilancarkan oleh keluarga dan penyokong Barghouti serta mendapat sokongan lebih 200 tokoh daripada bidang perfileman, muzik, kesusasteraan dan cabang kebudayaan lain.

“Kami menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan di seluruh dunia supaya mengambil tindakan aktif bagi mendapatkan pembebasan Marwan Barghouti dari penjara Israel,” menurut kenyataan itu.

Antara yang menandatangani kempen berkenaan ialah pelakon yang memegang watak terkenal dalam Marvel termasuk Ian McKellen yang membawa watak Magneto dalam siri X-Men, selain Rebecca Hall, Riz Ahmed, Jason Flemyng, Elliot Page, Hugo Weaving, Zawe Ashton, Emma Corrin, May Calamawy, Brian Cox, Dan Stevens, Rob Delaney dan Kingsley Ben-Adir.

Kempen itu turut disertai bintang Marvel Cinematic Universe Mark Ruffalo, yang membawa watak Bruce Banner/The Hulk; Benedict Cumberbatch sebagai Doctor Strange; dan Don Cheadle sebagai James Rhodes/War Machine.

Cate Blanchett yang memegang watak Hela dalam Thor: Ragnarok; Tilda Swinton sebagai Ancient One; Tatiana Maslany yang membintangi She-Hulk; serta Daniel Bruhl yang dikenali menerusi watak Zemo turut menjadi antara penandatangan.

 

 

Barghouti dilahirkan pada 6 Jun 1958 di kampung Kobar, barat laut Ramallah di Tebing Barat yang diduduki. Beliau menyertai gerakan Fatah pada usia 15 tahun.

Beliau ditahan Israel pada 1976 ketika berusia 18 tahun dan dipenjarakan untuk satu tempoh, ketika beliau mempelajari bahasa Ibrani. 

Sepanjang pengajiannya di universiti, beliau turut ditahan beberapa kali. Pada 1985, beliau sekali lagi dikenakan tahanan pentadbiran sebelum kemudiannya dikenakan tahanan rumah.

Barghouti muncul sebagai antara tokoh utama Intifada Pertama yang bermula di wilayah Palestin pada 1987. Israel kemudian mengusir beliau ke Jordan, tempat beliau menetap selama tujuh tahun.

Beliau kembali ke Tebing Barat pada 1994 di bawah Perjanjian Oslo yang ditandatangani antara Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Pada 1996, Barghouti dipilih menganggotai Majlis Perundangan Palestin, mewakili Fatah bagi kawasan Ramallah dan Al-Bireh. Beliau kemudian menjadi setiausaha agung gerakan itu.

Pada 2002, tentera Israel menahan Barghouti di rumahnya di Ramallah. 

Mahkamah Israel kemudian mensabitkannya atas tuduhan termasuk membunuh dan cubaan membunuh serta menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup lima kali ditambah 40 tahun.

Laporan ketika itu menyatakan hukuman berkenaan dijatuhkan susulan sabitannya berkaitan serangan semasa Intifada Kedua yang mengorbankan lima orang.

Barghouti mengikuti pengajian sains politik di Universiti Birzeit dan memperoleh ijazah sarjana muda dalam sejarah dan sains politik serta ijazah sarjana dalam hubungan antarabangsa. 

Beliau menamatkan pengajian kedoktoran ketika berada dalam penjara.

Beliau turut menghasilkan beberapa buku termasuk The Promise, Resistance to Arrest dan One Thousand Days in a Solitary Confinement Cell.

Pada Februari 2024, Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben-Gvir mengarahkan Barghouti dipindahkan dari Penjara Tentera Ofer ke Penjara Ramon, tempat beliau ditempatkan dalam kurungan bersendirian.

Pihak berkuasa Israel berkata tindakan itu dibuat susulan dakwaan maklumat perisikan mengenai rancangan untuk mencetuskan kebangkitan di Tebing Barat. 

Keputusan itu meningkatkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Palestin mengenai keselamatan Barghouti.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement