LOS ANGELES: Aktres kelahiran Ireland, Jessie Buckley mencipta sejarah peribadi apabila muncul pemenang Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Academy ke‑96 menerusi watak Agnes Hathaway- isteri kepada dramatis tersohor William Shakespeare dalam filem Hamnet.
Kemenangan itu turut menjadi momen emosional buat Buckley apabila upacara Oscar tahun ini berlangsung serentak dengan Hari Ibu di United Kingdom.
Advertisement
Dalam ucapan penerimaannya, Buckley, 36, menzahirkan penghargaan terhadap kekuatan dan kasih sayang seorang ibu sambil mengimbau anak perempuannya yang berusia lapan bulan.
“Anak saya mungkin hanya sedang bermimpi tentang susu… tapi ini adalah saat yang cukup bermakna,” katanya sambil menyifatkan para ibu sebagai tonggak yang terus “berkarya melawan segala rintangan.”
Dalam Hamnet, Buckley menghidupkan watak Agnes Hathaway yang digambarkan sebagai wanita bebas dan penuh keteguhan jiwa.
Filem itu memaparkan perjalanan emosi pasangan tersebut ketika berdepan tragedi kehilangan anak lelaki mereka yang berusia 11 tahun.
Beliau digandingkan dengan Paul Mescal yang melakonkan watak Shakespeare.
Buckley mula mencuri perhatian seawal usia 17 tahun melalui program BBC, I’d Do Anything, walaupun pernah menerima kritikan mengenai penampilan fizikalnya.
Nama Buckley kembali melonjak menerusi filem Wild Rose (2018), yang melayakkannya menerima pencalonan BAFTA.
Beliau kemudian tampil dalam beberapa produksi berprofil tinggi termasuk Women Talking, The Lost Daughter, serta siri TV Chernobyl dan musim keempat Fargo.
Di pentas teater London, persembahannya sebagai Sally Bowles dalam Cabaret melayakkannya memenangi Anugerah Laurence Olivier untuk Pelakon Wanita Terbaik Muzikal.
Kemenangan Buckley di Oscar tidak mengejutkan pemerhati industri selepas beliau menyapu bersih beberapa anugerah utama sepanjang musim anugerah tahun ini.
Antara pencabarnya ialah Rose Byrne yang membintangi If I Had Legs I'd Kick You.
Buckley kini kembali ke layar perak dengan membawa watak ikonik sebagai pengantin Frankenstein dalam filem terbaharu berjudul The Bride! - Agensi