LOS ANGELES: Tim Curry, pelakon kelahiran England yang mencipta nama sebagai figura kultus menerusi lakonan ikonik dalam The Rocky Horror Picture Show, Clue dan miniseri televisyen It, meninggal dunia pada usia 80 tahun.
Menurut kenyataan yang dikongsi oleh publisiti Sean Katz bagi pihak pengurus serta sahabat lamanya, Marcia Hurwitz, Curry meninggal dunia secara aman di kediamannya di Toluca Lake, Los Angeles pada Selasa.
“Walaupun beliau dikenali ramai menerusi watak-watak flamboyan yang tiada tandingan dan persembahan pentas yang penuh warna-warni, warisan terbesar beliau kepada mereka yang mengenalinya ialah minda yang ingin tahu, luas dan hati yang pemurah serta lembut, yang kekal terbuka hingga ke hembusan nafas terakhirnya,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Polis Los Angeles memaklumkan, pihak berkuasa menerima laporan siasatan kematian melibatkan seorang lelaki berusia lingkungan 80-an di sebuah alamat di Los Angeles sekitar jam 11.20 malam waktu tempatan.
Jabatan Bomba Los Angeles turut mengesahkan pasukan kecemasan hadir ke lokasi yang sama lebih awal susulan insiden perubatan melibatkan seorang lelaki dewasa yang kemudian disahkan meninggal dunia.
Punca kematian tidak diumumkan serta-merta.
Namun, Curry dilaporkan mengalami strok serius pada 2012 dan berdepan pelbagai masalah kesihatan sejak itu.
Ikon watak eksentrik dan penjahat berkarisma
Sepanjang kerjayanya, Curry dikenali sebagai pelakon karakter yang mampu menghidupkan pelbagai watak unik, daripada bangsawan British yang angkuh sehinggalah penjahat licik dan pembantu yang serba tidak kena.
Beliau meraih perhatian besar menerusi watak Dr. Frank-N-Furter dalam filem muzikal kultus The Rocky Horror Picture Show yang diterbitkan pada 1975.
Penampilannya dengan korset dan stoking, digabungkan dengan karisma luar biasa, menjadikan watak itu antara figura paling dikenang dalam sejarah budaya pop.
Curry turut memukau penonton sebagai Lord of Darkness dalam filem fantasi Legend (1985) arahan Ridley Scott, selain membawakan watak badut Pennywise dalam adaptasi televisyen novel seram Stephen King, It (1990), yang dianggap antara persembahan paling menyeramkan dalam kerjayanya.
Walaupun watak-watak tersebut terus mendapat tempat di hati peminat, Curry sering menunjukkan pendekatan santai terhadap populariti yang dibawanya.
Dalam satu wawancara, beliau pernah menyifatkan Pennywise sebagai watak yang “langsung tidak mempunyai sebarang sifat yang boleh ditebus”, manakala watak Frank-N-Furter dikenangnya dengan perasaan yang lebih bersahaja walaupun menjadi simbol kepada kerjayanya.
Dari England ke pentas dunia
Dilahirkan sebagai Timothy James Curry pada 19 April 1946 di Grappenhall, England, beliau merupakan anak kepada seorang paderi tentera laut Diraja Britain.
Selepas kematian bapanya ketika beliau berusia 12 tahun, Curry berpindah ke London bersama keluarganya dan mula menanam cita-cita untuk menjadi pelakon.
Beliau memperoleh ijazah dalam bidang teater pada 1968 sebelum memulakan kerjaya profesional menerusi produksi muzikal Hair.
Titik perubahan terbesar dalam hidupnya hadir pada 1973 apabila penulis Richard O’Brien memilihnya untuk membintangi pementasan The Rocky Horror Show.
Pementasan itu mencetuskan fenomena di London dan Los Angeles sebelum diadaptasi ke layar perak.
Walaupun filem tersebut pada awalnya tidak mencatat kejayaan besar di pawagam, ia kemudian berkembang menjadi fenomena budaya pop global menerusi tayangan lewat malam yang sentiasa mendapat sambutan hangat.
Hingga hari ini, The Rocky Horror Picture Show kekal memegang rekod sebagai filem dengan tempoh tayangan pawagam paling lama dalam sejarah.
Pengaruh merentasi generasi
Pemergian Curry mencetuskan penghormatan daripada ramai penggiat seni yang menganggapnya sebagai inspirasi besar.
Pelakon Wales, Luke Evans, yang pernah membawakan watak Frank-N-Furter dalam produksi Broadway, menyifatkan Curry sebagai “satu kuasa besar, nyalaan terang yang garang dan pesona yang luar biasa.”
Dalam surat yang pernah ditulis kepada Curry sebelum ini, Evans mengucapkan terima kasih atas keberaniannya mencipta watak yang terus hidup merentasi generasi serta memberi inspirasi kepada pelakon lain untuk lebih berani meneroka potensi diri.
“Tidak akan ada Tim Curry kedua. Kita hanya mampu mencuba mencontohi sedikit magis yang beliau tinggalkan,” katanya.
Akaun rasmi Rocky Horror Picture Show di Broadway turut memberi penghormatan kepada mendiang atas sumbangannya dalam memberikan “lebih banyak kebebasan, keberanian dan keyakinan” kepada dunia hiburan.
Pelakon Carol Burnett, yang pernah bergandingan dengannya dalam filem Annie (1982), pula menyifatkan Curry sebagai sahabat yang amat dihargai.
“Tiada siapa yang mampu melakonkan watak penjahat yang disayangi penonton sebaik Tim Curry,” tulis Burnett.
Berjenaka hingga ke penghujung hayat
Walaupun kesihatannya semakin merosot selepas strok yang dialami pada 2012 dan beliau menggunakan kerusi roda pada tahun-tahun akhir kehidupannya, Curry tidak pernah kehilangan sifat humor yang menjadi identitinya.
Ketika membuat penampilan mengejut dalam tayangan ulang tahun ke-50 The Rocky Horror Picture Show di Los Angeles tahun lalu, mendiang menerima beberapa kali tepukan gemuruh berdiri daripada peminat pelbagai generasi.
Dalam nada berseloroh, Curry berkata kepada hadirin: “Saya ingin beritahu bahawa ini kali pertama saya tidak berkaki malam ini, tetapi itu tidak benar. Malangnya saya kini menggunakan kerusi roda, jadi biasakanlah dengannya!”
Jenakanya itu mendapat sorakan dan ketawa penonton, mencerminkan semangatnya yang kekal utuh meskipun berdepan cabaran kesihatan.
Tim Curry meninggalkan legasi besar dalam dunia teater, filem dan televisyen, dengan karya-karyanya terus diraikan oleh generasi baharu peminat di seluruh dunia.