NEW YORK: Pelakon Hollywood, Selma Blair, berdepan dua pertuduhan tambahan membabitkan serangan selepas didakwa menendang seorang pegawai polis dan jururawat susulan insiden di dalam penerbangan dari Los Angeles ke New York.
Bintang filem Legally Blonde berusia 54 tahun itu sebelum ini ditahan pada Ahad malam selepas didakwa menyerang kru penerbangan dalam pesawat milik syarikat penerbangan Delta yang dalam perjalanan ke New York.
Menurut pihak berkuasa, Blair turut menerima saman persekutuan atas tuduhan melakukan serangan di dalam pesawat yang berada di bawah bidang kuasa khas Amerika Syarikat.
Dua pertuduhan tambahan yang difailkan di mahkamah negeri pula berkaitan kejadian yang didakwa berlaku selepas beliau dikeluarkan dari pesawat.
Pendakwa raya mendakwa salah satu serangan berlaku ketika Blair dibawa menaiki ambulans ke hospital, apabila beliau didakwa menendang seorang pegawai polis. Selepas tiba di hospital, beliau turut didakwa menyerang seorang jururawat.
Bagaimanapun, pelakon itu mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.
Peguamnya, Shawn Barnes, ketika prosiding di mahkamah Queens memohon mahkamah mempertimbangkan rekod kerjaya anak guamnya dan menegaskan bahawa keganasan bukanlah sifat sebenar pelakon berkenaan.
Beliau turut menyifatkan Blair sebagai seorang individu yang menjadi contoh kepada ramai pihak dan menggelarnya sebagai "piawaian emas".
Namun, hakim menolak permohonan layanan ringan itu dan menegaskan bahawa pelakon tersebut tidak sepatutnya menerima layanan istimewa hanya kerana statusnya sebagai selebriti.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak AS$20,000 (RM84,000) secara tunai atau bon AS$60,000 (RM252,000), dengan sebutan semula kes dijadualkan pada 19 Januari depan.
Wakil Blair sebelum ini memaklumkan kepada media bahawa pelakon itu mengalami kecemasan perubatan yang didakwa membawa kepada tingkah laku berkenaan.
Ketika pesawat mendarat di New York pada Ahad malam, pihak berkuasa lapangan terbang menerima laporan mengenai seorang penumpang yang bertindak agresif secara fizikal.
Dua kru kabin dilaporkan cedera akibat kejadian itu, manakala seorang daripada mereka terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.
Rakaman komunikasi kawalan trafik udara yang diperoleh media tempatan turut menunjukkan juruterbang meminta bantuan perubatan, dengan menyebut terdapat kecederaan seperti hidung berdarah dan kesan gigitan.
Selain Legally Blonde, Blair juga terkenal menerusi penampilannya dalam filem Cruel Intentions dan Hellboy. Kes persekutuan berkaitan dakwaan serangan di dalam pesawat itu masih menunggu tarikh perbicaraan ditetapkan.