Skip to main content

Dunia

Pemenang Oscar Brenda Fricker meninggal dunia pada usia 81 tahun

Brenda Fricker holds up her Oscar after winning the Best Supporting Actress category at Academy Awards. March 26, 1990 REUTERS
Pemenang Anugerah Oscar yang terkenal menerusi lakonannya dalam filem My Left Foot dan Home Alone 2: Lost in New York, Brenda Fricker, meninggal dunia pada usia 81 tahun. - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

LONDON: Pemenang Anugerah Oscar yang terkenal menerusi lakonannya dalam filem My Left Foot dan Home Alone 2: Lost in New York, Brenda Fricker, meninggal dunia pada usia 81 tahun, lapor PA Media/dpa.

Pemergiannya disahkan oleh ejen beliau Phil Belfield, yang menyifatkan pelakon kelahiran Ireland itu sebagai seorang "legenda" dan menyatakan beliau berbesar hati kerana pernah mengenali Fricker.

"Dengan penuh dukacita saya mengumumkan bahawa pelakon kesayangan ramai, Brenda Fricker, meninggal dunia dengan tenang malam tadi selepas mengalami masalah kesihatan sejak beberapa ketika, pada usia 81 tahun," kata Belfield dalam satu kenyataan pada Jumaat.

"Dilahirkan dan dibesarkan di Dublin, Brenda Fricker sememangnya layak digelar legenda.

"Kita tidak akan menemui insan sepertinya lagi dan dunia kehilangan seorang tokoh yang tiada galang gantinya. Saya berbesar hati kerana dapat mengenali, menyayangi dan bekerjasama dengannya. Beliau akan sentiasa berada di hati saya dan jutaan peminat filem serta televisyen di seluruh dunia."

Fricker memenangi Oscar Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi watak Bridget Fagan Brown dalam filem My Left Foot (1989), yang mengisahkan kehidupan Christy Brown, seorang lelaki Ireland yang dilahirkan dengan cerebral palsy dan hanya mampu mengawal kaki kirinya.

Beliau juga dikenali ramai menerusi watak Pigeon Lady, seorang gelandangan di Central Park, New York dalam filem Home Alone 2: Lost in New York (1992).

Perdana Menteri Ireland Simon Harris berkata beliau "amat sedih" menerima berita pemergian Fricker dan menyifatkannya sebagai "khazanah negara", selain merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan sahabat handai pelakon itu.

"Sepanjang kerjaya yang menjangkau enam dekad, Brenda mencapai pelbagai kejayaan luar biasa, termasuk memenangi Anugerah Akademi bagi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada 1990 menerusi lakonannya dalam filem *My Left Foot* arahan Jim Sheridan," katanya.

"Kejayaan itu serta ucapan penerimaannya yang penuh emosi, apabila beliau mendedikasikan anugerah tersebut kepada 'seluruh rakyat Ireland', menjadi detik bersejarah bagi industri perfileman Ireland.

"Sebagai wanita Ireland pertama memenangi Oscar lakonan, beliau membuka jalan dan menetapkan piawaian kecemerlangan yang terus menjadi inspirasi kepada generasi baharu penggiat seni Ireland.

"Beliau merupakan seorang pelakon yang unggul, menghiasi layar dan pentas dengan bakat luar biasa serta keaslian. Brenda membawa kedalaman emosi dan nilai kemanusiaan dalam setiap watak yang dilakonkannya.

"Beliau benar-benar antara bakat terbaik yang pernah dilahirkan negara ini dan menjadi duta kepada seni lakonan Ireland di pentas dunia. Ringkasnya, kita tidak akan menemui insan sepertinya lagi."

Fricker turut membintangi drama perubatan BBC Casualty serta berlakon bersama Cate Blanchett dalam Veronica Guerin (2003). Beliau juga muncul dalam drama ITV Upstairs, Downstairs dan siri popular Coronation Street.

Selain itu, beliau turut dikenali menerusi filem So I Married An Axe Murderer (1993), Angels in the Outfield (1994) dan A Time to Kill (1996).

Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Ireland, Edward Walsh, menyifatkan Fricker sebagai "tokoh besar dunia perfileman Ireland" dan memuji lakonannya yang "tidak dapat dilupakan" dalam My Left Foot.

Dalam hantaran di platform media sosial X, beliau berkata: "Dari Dublin ke Hollywood, hasil kerjanya membawa kisah Ireland ke pentas dunia dan memberi inspirasi kepada generasi di kedua-dua belah Atlantik.

"Beliau meninggalkan legasi yang luar biasa dan saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, sahabat serta semua yang menyayanginya."

Fricker berkahwin dengan pengarah Barry Davies pada 1979 sebelum bercerai pada 1988. Beliau pernah beberapa kali hamil tetapi mengalami keguguran, yang menurutnya menyebabkan beliau mengalami kemurungan teruk sepanjang sebahagian besar hidupnya.

Antara hobi beliau ialah menjaga anjing peliharaan, membaca puisi dan bermain snuker.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

Must Watch Video

Advertisement