PETALING JAYA: Kerajaan memberi bayangan akan meningkatkan peruntukan bagi sektor filem, teater, sastera dan seni sebagai sebahagian usaha memperkukuh industri kreatif serta pemerkasaan budaya negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan melihat pemerkasaan budaya sebagai satu tanggungjawab dalam membangunkan negara, selain memastikan pertumbuhan ekonomi terus diperkukuh.
Tambah Anwar, sokongan kerajaan juga bagi memastikan nasib dan kebajikan penggiat seni terus terbela, daripada pelakon sehingga seluruh tenaga kerja yang terlibat dalam penghasilan karya.
“Keperluan untuk kita memberikan segala suntikan dan dukungan yang perlu supaya bukan sahaja industri itu berhasil, malah nasib dan kebajikan terbela meliputi pelakon hingga penggiat seni dan seluruh tenaga kerja perfileman,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara Finas Damansara, di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan beliau kini berada pada peringkat akhir merangka Belanjawan Negara yang akan dibentangkan pada awal Oktober.
“Saya di peringkat akhir melakar strategi belanjawan negara. Insya-Allah akan diluncurkan pada awal Oktober,” katanya.
Tegas Anwar, pembangunan negara tidak seharusnya hanya diukur melalui pencapaian ekonomi, sebaliknya rakyat juga perlu mempunyai rasa bangga terhadap seni, budaya dan filem tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata industri perfileman negara merekodkan hampir RM958 juta pelaburan produksi menerusi Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) bagi tempoh 2024 hingga 2026.
Selain itu, sebanyak 12,823 peluang pekerjaan turut diwujudkan menerusi FIMI.
Tambah Fahmi, FIMI merekodkan RM130.08 juta pada 2024, meningkat kepada RM303.04 juta pada 2025 dan RM524.62 juta berdasarkan data semasa 2026.
Tegas Fahmi, peningkatan itu mencerminkan potensi industri kreatif negara sebagai sektor yang mampu menarik pelaburan selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan.