BUKAN satu rahsia penyanyi Nourul Wahab dan komposer hebat tanah air, Ajai, pernah mendirikan rumah tangga sebelum bercerai pada tahun 2006.
Sewaktu masih menjadi pasangan suami isteri, mereka juga cukup terkenal dengan lagu-lagu duet termasuk Aku Cinta Aku Rindu yang pernah menerima anugerah dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Keliru yang dinobatkan sebagai Juara Lagu.
Advertisement
Namun, baik Ajai atau Nourul kini masing-masing bahagia dan harmoni menjalani kehidupan rumah tangga masing-masing.
Selepas 20 tahun berpisah sebagai suami isteri, kehadiran konsert sulung For You Nourul telah membuat peminat teruja bukan hanya kerana mahu menyaksikan penyanyi kesayangan mereka membuat persembahan secara solo tetapi kembali berduet dengan bekas rakan duetnya, Ajai.
Bercakap tentang permintaan tersebut, Nourul, 49, mengakui, tiada masalah untuk menjadikan ia sebagai realiti.
Bagaimanapun semuanya bergantung kepada pihak pengurusan dan kelapangan Ajai.
“Sejak saya umumkan untuk mengadakan For You Nourul, memang ada dalam kalangan peminat yang sudah buat tanda pagar mahu saya menyanyi lagu-lagu duet kami bersama.
“Saya tiada masalah dan terbuka kerana masing-masing sudah cukup matang. Kami menyanyi demi peminat.
"Bagaimanapun semuanya bergantung kepada pihak pengurusan dan kelapangan beliau,” ujar Nourul yang ditemui sewaktu majlis berbuka puasa baru-baru ini.
Tambah Nourul, jika tidak berkongsi panggung, dia tetap akan melayangkan jemputan buat Ajai kerana beliau merupakan salah seorang penerbit albumnya.
“Ajai ialah penerbit album kedua saya. Insya-Allah kalau ada rezeki, adalah persembahan duet kami. Tetapi kalau tidak, idea untuk persembahan pada konsert itu nanti sudah saya siapkan,” jelasnya.
Menurut penyanyi itu lagi, ada atau tiada dengan kehadiran bekas suami, For You Nourul yang dijadual berlangsung pada 30 Mei 2026 di Zepp Kuala Lumpur tetap akan berjalan seperti dirancang.
Nourul memberitahu sudah menyiapkan sekitar 15 buah lagu termasuk lagu Perancis untuk disampaikan pada malam penuh bersejarah itu.
“Saya akan menyampaikan sekitar 15 lagu yang mana ada dalam lagu-lagi tersebut dipilih sendiri oleh peminat. Saya pun sampai sudah lupa, tapi peminat ingatkan saya pernah ada lagu itu, lagu ini, jadi saya cuba bawa.
“Pada masa sama, saya juga akan membawakan lagu Perancis kerana rakan-rakan bukan sahaja dari Singapura dan Bali, malah dari Perancis teruja untuk hadir ke For You Nourul,” katanya yang juga memberitahu ada susunan lagu menerima sentuhan semula.
Lebih mengujakan, kata Nourul, penukaran tarikh konsert kepada 30 Mei 2026 membawa banyak hikmah dan dia bersemangat untuk merealisasikan For You Nourul dengan sebaik mungkin.
“Ya, mungkin saya sedih dengan situasi sebelum ini apabila penganjur tarik diri dan perlu menjadual semula For You Nourul.
"Tapi hikmahnya banyak. Salah satunya penyanyi undangan yang saya ingin dapat bersama saya selepas tidak boleh memenuhi undangan pada tarikh asal konsert. Saya sangat bersyukur.
"Dan nanti saya akan umumkan penyanyi undangan kedua pada malam For You Nourul,” katanya bahagia. - Gempak