KUALA LUMPUR: Industri perfileman Malaysia mencatat perkembangan memberangsangkan apabila filem tempatan merekodkan 7.55 juta kemasukan penonton ke pawagam bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, mengatasi 6.94 juta kemasukan penonton bagi filem Hollywood dalam tempoh sama.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan angka berkenaan menunjukan perbezaan kira-kira 610,000 kemasukan penonton (8.8 peratus) yang memperlihatkan peningkatan keyakinan dan minat masyarakat terhadap karya tempatan.
Pencapaian itu, menurut FINAS, turut mencerminkan kemampuan penggiat industri menghasilkan kandungan berkualiti yang dekat dengan cita rasa, budaya dan pengalaman penonton Malaysia.
“Prestasi tersebut diperkukuh dengan kejayaan lima filem tempatan yang mencatat kutipan melebihi RM10 juta, iaitu Tarung: Unforgiven dengan RM23.59 juta, Polong (RM14.98 juta), Libang Libu (RM14.16 juta), Malaikat Malam (RM12.23 juta) dan Ah Beng vs Liang Po Po (RM10.04 juta).
“FINAS melihat perkembangan positif ini didorong oleh peningkatan ketara dalam kualiti skrip, mutu lakonan serta keseluruhan proses pembikinan filem tempatan berbanding sebelumnya,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, FINAS berharap momentum berkenaan terus diperkukuh melalui kerjasama strategik antara kerajaan, penggiat industri, pempamer, pengedar dan sektor swasta bagi memastikan industri perfileman negara berkembang secara mampan.
FINAS akan terus memperkukuh ekosistem perfileman negara melalui pembangunan kandungan, peningkatan kompetensi bakat, penerapan teknologi, peluasan akses pembiayaan serta pemerkasaan promosi dan pengedaran karya tempatan.
Dalam masa sama, FINAS merakamkan penghargaan kepada penonton atas sokongan dan keyakinan yang diberi.
“Sokongan ini menjadi sumber semangat kepada penggiat industri untuk terus berkarya serta menghasilkan filem tempatan yang lebih bermutu dan berdaya saing.
“Pencapaian sepanjang tujuh bulan pertama 2026 ini memberikan landasan positif kepada industri perfileman Malaysia untuk terus berkembang, mencipta nilai ekonomi dan memperkukuh kedudukan kandungan tempatan dalam pasaran domestik serta antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA