Skip to main content

Malaysia

FINAS mahu penerbit tembus pasaran antarabangsa - Hans Isaac

Hans berucap ketika menghadiri Simposium Industri Kreatif sempena Festival Filem Malaysia ke-35 di Menara FINAS Damansara pada Sabtu. - Gambar Bernama
Hans berucap ketika menghadiri Simposium Industri Kreatif sempena Festival Filem Malaysia ke-35 di Menara FINAS Damansara pada Sabtu. - Gambar Bernama

Advertisement

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mahu penerbit tempatan memanfaatkan Dana Kandungan Kreatif (DKK) untuk menghasilkan karya yang mampu menembusi pasaran antarabangsa dan menjana pendapatan jangka panjang, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bantuan dana kerajaan.

Pengerusinya, Datuk Hans Isaac berkata, sudah tiba masanya penerbit meluaskan pasaran karya mereka ke luar negara selepas sekian lama menghasilkan kandungan untuk pasaran domestik.

“Kita sudah membuat kandungan untuk Malaysia. (Tiba) masanya untuk kita membuat kandungan dengan dana ini untuk keluar dari Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Simposium Industri Kreatif bersempena dengan Festival Filem Malaysia ke-35, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, FINAS mahu membantu syarikat menghasilkan kandungan yang mampu menjana pendapatan selama lima hingga enam tahun bagi memperkukuh kedudukan kewangan dan memastikan lebih banyak syarikat dalam industri kreatif berkembang secara mampan.

“Kita mahu syarikat-syarikat itu berkembang dan ada pulangan yang bagus. Kita tidak mahu satu dua syarikat sihat, kita mahu berpuluh-puluh syarikat sihat, baru ekosistem itu bagus dan maju,” katanya.

Hans turut menggalakkan penerbit baharu yang berpotensi menghasilkan kandungan berkualiti memohon DKK melalui proses yang ditetapkan.

Beliau berkata, simposium itu diadakan bagi mendapatkan maklum balas penggiat industri untuk menambah baik pengurusan DKK, termasuk proses penilaian panel serta pemberian maklum balas kepada pemohon yang tidak berjaya.

Hans berkata, penjelasan mengenai kelemahan permohonan dapat membantu penerbit membuat persediaan lebih baik sebelum mengemukakan permohonan seterusnya.

“Sesi libat urus dengan pihak berkepentingan diperlukan kerana DKK merupakan dana awam yang disediakan untuk industri. Ini adalah duit rakyat, ini adalah duit untuk industri,” katanya.

Beliau berkata, maklum balas daripada simposium itu akan diteliti bersama-sama cadangan dalaman daripada lembaga dana, pihak pengurusan dan ketua pegawai eksekutif FINAS sebelum kertas cadangan penambahbaikan dikemukakan kepada Kementerian Komunikasi untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement