Skip to main content

Malaysia

Industri filem catat lonjakan membanggakan, 14.83 juta penonton pada 2025 - Teo

Teo berucap pada majlis perasmian dan pengumuman Top 5 FFM35 di Wisma FINAS, malam Sabtu. - Gambar Bernama
Teo berucap pada majlis perasmian dan pengumuman Top 5 FFM35 di Wisma FINAS, malam Sabtu. - Gambar Bernama

Advertisement

PETALING JAYA: Industri perfileman Malaysia terus mencatatkan lonjakan membanggakan apabila jumlah penonton filem tempatan mencecah 14.83 juta orang pada 2025, peningkatan sebanyak 107.7 peratus berbanding 7.14 juta penonton tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, perkembangan positif itu turut menyaksikan kutipan pecah panggung filem tempatan mencapai rekod tertinggi sebanyak RM247.95 juta pada 2025 berbanding RM166.57 juta tahun sebelumnya.

“Kejayaan filem seperti Blood Brothers: Bara Naga (RM73.64 juta), Papa Zola The Movie (RM63.88 juta) dan Ejen Ali The Movie 2 (RM58.40 juta) yang masing-masing mencatatkan kutipan puluhan juta ringgit pada 2025 membuktikan bahawa filem Malaysia mempunyai keupayaan untuk menghasilkan karya yang berkualiti, menghiburkan serta mampu menarik minat penonton daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian dan pengumuman Top 5 Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), di sini, pada malam Sabtu.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Datuk Bahria Mohd Tamil; Pengerusi FINAS, Datuk Dr Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Teo berkata, filem Malaysia terus menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan,  justeru Teo berkata trend sokongan penonton terus konsisten apabila setakat Julai 2026, filem tempatan merekodkan sebanyak 6.10 juta penonton manakala enam filem berjaya melepasi kutipan RM10 juta setakat ini, iaitu Ah Beng vs Liang Po po, Malaikat Malam, Libang Libu, Tarung Unforgiven, Polong dan Chelot.

Beliau turut menggalakkan kerajaan negeri dan wilayah lain mengikut jejak langkah Kerajaan Persekutuan seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2027 berkaitan pengecualian duti hiburan bagi tiket tayangan filem serta teater tempatan.

“Sebagai Timbalan Menteri Komunikasi, saya juga harap negeri-negeri dan wilayah-wilayah lain akan mempertimbangkan langkah pengecualian duti hiburan bagi tiket tayangan filem tempatan dan persembahan teater tempatan supaya kita boleh sama-sama menyokong industri kreatif tempatan,” katanya.

Teo berkata FFM35, yang bertemakan “Spektrum Sinema”, tepat menggambarkan filem Malaysia hari ini mengenai cerita daripada pelbagai komuniti, bahasa dan pengalaman hidup.

“Ada filem yang membuat kita ketawa, ada yang mengajak kita berfikir dan ada yang membantu kita memahami kehidupan orang lain... kepelbagaian itu ialah kekuatan kita... kita tidak perlu memilih satu bentuk cerita sahaja untuk mewakili Malaysia.,” katanya.

Malam Anugerah FFM35 dijadualkan berlangsung pada 21 Nov ini di Istana Budaya. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement