Skip to main content

Malaysia

Kesihatan Norish Karman merosot, keluarga mohon doa

Norish atau nama penuhnya Nor’Ashikin Karman dilaporkan sedang berjuang dengan masalah kesihatan serius
Norish atau nama penuhnya Nor’Ashikin Karman dilaporkan sedang berjuang dengan masalah kesihatan serius iaitu paras darah dan zat besi yang terlalu rendah sejak dua tahun lalu. - Foto Sinar Harian

PELAKON Norish Karman dilaporkan sedang mengalami masalah kesihatan yang semakin merosot.

Perkara berkenaan dikongsikan anaknya, pelakon Manda Hash menerusi hantaran di Threads.

Advertisement

"Bunda yang kami kasihi kini berada dalam keadaan kesihatan yang semakin merosot. Beliau berada dalam situasi berisiko tinggi.

"Apatah daya kami sebagai anak-anak yang masih jauh perjalanan hidup dan belum mampu memberikan yang terbaik. Saya sangat berharap kepada sesiapa yang membaca ini, mohon titipkan doa. Bagi kami, itulah harapan yang masih ada," titipnya.

Norish atau nama penuhnya Nor’Ashikin Karman dilaporkan sedang berjuang dengan masalah kesihatan serius iaitu paras darah dan zat besi yang terlalu rendah (extreme low blood and iron) sejak dua tahun yang lalu.

Difahamkan hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda, Norish sudah tidak mampu berjalan.

"Dahulu, ibu saya seorang yang kuat dan sentiasa bekerja keras untuk keluarga. Namun kini, keadaannya semakin merosot. Melihat perubahan ini benar-benar meruntun hati saya sebagai seorang anak," kongsinya.

Menerusi laman kutipan dana, Norish memerlukan rawatan pemindahan darah (blood transfusion) dan suntikan zat besi (iron infusion) secara berterusan untuk membantu memulihkan keadaannya. Sebarang kelewatan dalam rawatan boleh menyebabkan keadaan ibu menjadi lebih kritikal.

Manda atau nama sebenarnya Nur Hanyz Amanda Hashimuddin Abdul Kadir, 22, menerusi laman itu mendedahkan mengalami kesukaran menyediakan wang bagi membiayai kos rawatan.

"Saya membantu ibu berniaga untuk menyara keluarga, namun pendapatan kami sangat terhad kerana kami juga perlu menanggung enam orang adik-beradik yang lain.

"Kos rawatan yang semakin meningkat setiap hari membuatkan kami semakin terhimpit.

"Kami telah mencuba pelbagai cara untuk mengumpul dana termasuk berniaga dan membuat live di TikTok menjual pakaian preloved shooting, namun usaha kami masih belum mencukupi untuk menampung kos rawatan yang diperlukan," kongsinya.

Sekadar info, Norish pelakon Sayang Salmah dan Raja Melewar itu pernah berkahwin dengan Datuk Hashimuddin Abdul Kadir namun berpisah pada 15 Julai 2008.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Haqiem Amany, 26, Muhammad Hady Amieran, 23, Nur Hanyz Amanda, 22, dan Haq Alexander, 15.

Norish juga mengambil empat orang anak angkat iaitu Hasbi Fadullah, 15, Hasya Farahiya,13, Haziq Fadillah, 12, dan Hazra Farisya, 7. - Sinarplus/Sinar Harian

 

 

Must Watch Video