KUALA LUMPUR: Andai mahu dirumuskan momen paling dikenang sepanjang berada di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Sabtu lalu, ia bukan sekadar susunan muzik yang indah atau kemerduan vokal barisan penyanyi di pentas.
Sebaliknya, ia adalah tentang rasa.
Rasa rindu yang hadir perlahan-lahan, sebelum akhirnya memenuhi seluruh ruang hati.
Sejak awal pengumuman konsert A Tribute To Sharifah Aini, ramai meletakkan harapan tinggi agar ia tampil sebagai sebuah pementasan yang berbeza.
Dan harapan itu ternyata tidak tersasar.
Konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan memperingati seorang legenda. Ia merupakan manifestasi bahawa legasi Allahyarham Datuk Sharifah Aini masih hidup - masih bernafas dan terus mencengkam jiwa.
Lebih sedekad pemergiannya berlalu, namun pada malam itu, penonton seakan tidak pernah terasa benar-benar kehilangannya.
Kehadirannya masih terasa - dalam setiap alunan muzik, dalam setiap bait lirik, dan dalam setiap hela nafas penonton yang hanyut bersama kenangan masing-masing.
Apabila Asmidar membuka tirai dengan Seri Dewi Malam, suasana DFP seakan berubah wajah. Lagu tradisional itu bukan sekadar dinyanyikan semula, sebaliknya dihidupkan dengan penuh jiwa.
Seolah-olah wujud getaran halus yang menghubungkan masa lalu dengan masa kini.
Tatkala medley demi medley dihamparkan - Di Pinggir Kayangan, Sayang Musalmah, Gunung Banang - ia tidak lagi sekadar rangkaian lagu. Ia menjadi helaian kenangan yang diselak satu persatu.
Di situlah penonton mula menyedari - kehebatan Sharifah Aini bukan hanya terletak pada suaranya, tetapi pada kekuatan karya yang kekal relevan merentasi zaman.
Malam itu turut membawa penonton ke dimensi emosi lebih mendalam apabila Salamiah Hassan mengambil alih pentas.
Tiada Maaf Bagimu dan Kenang Daku Dalam Doamu bukan sekadar lagu melankolik, tetapi menjadi ruang buat mereka yang membesar dengan karya Allahyarham berdepan rasa kehilangan yang tidak pernah benar-benar sembuh.
Sebahagian besar hadirin ketika itu larut dalam emosi masing-masing.
Bagi mereka, Sharifah Aini bukan sekadar seorang penyanyi. Beliau adalah suara yang menemani pelbagai fasa kehidupan - cinta, kehilangan, harapan dan luka.
Apabila Salamiah menghidupkan semula lagu Inggeris seperti Forever and Ever, Will You Still Love Me Tomorrow dan I Have A Dream, semakin terserlah spektrum seni Allahyarham.
Biduanita Negara itu bukan sekadar ikon muzik Melayu, tetapi figura seni yang merentasi sempadan bahasa dan genre.
Shiha Zikir pula membawa sisi yang lebih peribadi ke pentas.
Cerita-ceritanya tentang “Umi” (panggilan buat Allahyarham Sharifah Aini) bukan sekadar selingan, tetapi membuka jendela kecil tentang siapa sebenarnya legenda itu di luar pentas.
Seorang guru yang tegas, pembentuk disiplin, dan insan yang meninggalkan kesan mendalam kepada generasi selepasnya.
Ketika Shiha menyampaikan Mawar Putih Untuk Mama, ada sesuatu yang menusuk jauh ke dalam perasaan.
Lagu itu bukan lagi sekadar karya, tetapi simbol kasih, kehilangan dan penghormatan kepada seorang ibu - cinta pertama dalam hidup setiap insan.
Suasana kemudian berubah dengan kemunculan Datuk Khadijah Ibrahim.
Daripada Hapuslah Air Matamu hingga ke ritma lebih bertenaga seperti Rindu, pentas kembali segar dengan energi berbeza.
Seolah-olah mengingatkan bahawa Sharifah Aini juga seorang penghibur yang lengkap, mampu menguasai pelbagai nuansa emosi.
Namun, keindahan sebenar malam itu bukan terletak pada siapa yang menyanyi atau lagu yang dipersembahkan.
Ia terletak pada bagaimana setiap persembahan, diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose, berjaya menganyam satu naratif emosi yang utuh.
Naratif tentang ingatan.
Tentang kehilangan.
Dan yang paling penting, tentang legasi.
Malam yang indah itu ditutup dengan nyanyian lagu Seiring Sejalan oleh keempat-empat penyanyi berkenaan.
Penutup menjadi lebih manis apabila penonton dipelawa untuk sama-sama berdiri dan menyanyi bersama-sama - meraikan pementasan yang julung-julung kali dianjurkan oleh DFP sebagai penghormatan kepada Biduanita Negara, Sharifah Aini.
Ketika melodi Seiring Sejalan bergema juga, sepertinya ramai yang belum bersedia meninggalkan ruang yang baru sahaja dipenuhi dengan begitu banyak rasa.
Pada saat itu, satu perkara menjadi sangat jelas.
Sharifah Aini mungkin telah pergi secara fizikal, namun beliau tidak pernah benar-benar meninggalkan kita.
Karyanya terus hidup.
Suaranya masih berbisik dalam ingatan.
Dan kasih peminat terhadapnya tidak pernah pudar - tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.
Dan kepada saya secara peribadi, malam itu, ia tidak sekadar menghadiri sebuah konsert.
Sebaliknya, saya menyaksikan bagaimana seorang legenda terus hidup - dalam jiwa sebuah bangsa!