Skip to main content

Malaysia

Malaysia lihat potensi lebih besar dalam kerjasama ekonomi kreatif dengan Indonesia

Fahmi menghadiri majlis makan malam bersama wakil industri kreatif Indonesia di Jakarta malam tadi. --fotoBERNAMA
Fahmi menghadiri majlis makan malam bersama wakil industri kreatif Indonesia di Jakarta malam tadi. --fotoBERNAMA

Advertisement

JAKARTA: Malaysia melihat peluang besar untuk memperluas kerjasama dengan Indonesia dalam bidang ekonomi kreatif menerusi pembinaan warisan budaya bersama, hubungan sejarah dan kekuatan yang saling melengkapi.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata potensi kerjasama yang lebih erat itu diperluas merentasi seni kreatif, harta intelek dan muzik.

"Ini peluang yang baik untuk kita mengeratkan silaturahim antara Malaysia dan Indonesia. Ekonomi kreatif adalah sektor ekonomi yang sangat vibrant, ia mempunyai potensi yang besar dan saya harap kita dapat menemukan lebih banyak kesamaan daripada perbezaan," katanya pada majlis makan malam bersama dengan wakil industri kreatif Indonesia di sini malam tadi.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Muzafar Shah Mustafa, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MyCreative Ventures Zainol Haqim Zainol Rashid, CEO Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama Mohd Shukri Ishak.

Pihak Indonesia diwakili oleh Ahli Jawatankuasa Ekonomi Kreatif Jakarta EnMasse dan Sun Eater Group.

Fahmi juga berharap kedua-dua negara dapat mengenal pasti bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing saling melengkapi sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk kerjasama dan menjana manfaat ekonomi.

“Saya percaya ini adalah langkah pertama dalam perjalanan yang sangat panjang, insya-Allah, bersama-sama,” katanya.

Fahmi, yang tiba di sini pada 5.30 petang waktu tempatan semalam (Selasa) selepas menghadiri Bali Tech Week, dijadual berada di ibu kota Indonesia itu hingga Khamis untuk menghadiri Persidangan Dunia mengenai Ekonomi Kreatif (WCCE).

Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan berasingan dengan Menteri Kebudayaan Indonesia Fadli Zon dan Menteri Ekonomi Kreatif Teuku Riefky Harsya semasa lawatan itu.

Bercakap kepada Bernama, Fahmi menekankan keperluan menangani cabaran dalam memperluas akses pasaran bagi karya kreatif Malaysia di Indonesia khususnya dalam industri filem dan muzik, di samping meneroka peluang untuk lebih ramai artis Malaysia mengadakan persembahan di negara itu.

Beliau berkata cabaran berkenaan akan dibincangkan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam industri kreatif, dengan memorandum persefahaman (MoU) dijadualkan ditandatangani pada Rabu.

“Jadi, ini yang kita akan cuba bincangkan. MOU akan ditandatangani esok dan hasil daripada MOU itu kita ingin bertukar data, kita ingin melihat kepada aspek-aspek latihan dan usaha untuk membawa karya-karya ini merentas dari Malaysia ke Indonesia dan Indonesia ke Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement