Skip to main content

Malaysia

"Papa Zola The Movie" filem Malaysia paling berjaya di Indonesia, tarik 515,000 penonton

71765593446_posterpapazolathe.jpg
Filem animasi tempatan, "Papa Zola The Movie" terbitan Monsta dengan kerjasama Astro Shaw, mencipta satu lagi kejayaan di peringkat antarabangsa selepas muncul sebagai filem Malaysia paling mendapat sambutan di Indonesia, dengan 515,000 penonton sepanjang 35 hari tayangan di negara itu.

KUALA LUMPUR: Filem animasi tempatan, "Papa Zola The Movie" terbitan Monsta dengan kerjasama Astro Shaw, mencipta satu lagi kejayaan di peringkat antarabangsa selepas muncul sebagai filem Malaysia paling mendapat sambutan di Indonesia, dengan 515,000 penonton sepanjang 35 hari tayangan di negara itu.

Dalam kenyataan hari ini, Monsta memaklumkan kejayaan itu juga meletakkan filem berkenaan dalam kalangan tiga filem dengan kutipan tertinggi di Indonesia pada awal tahun ini, satu pencapaian penting buat industri filem Malaysia di pasaran serantau.

Advertisement

"Sambutan luar biasa di Indonesia membuktikan kekuatan jalan cerita yang mantap serta daya tarikan sejagat yang merentas sempadan budaya dan bahasa," menurut kenyataan itu.

Menurut Monsta, pencapaian di Indonesia menambah kepada kejayaan terdahulu filem itu di Malaysia, Singapura dan Brunei dengan jumlah kutipan keseluruhan setakat ini melebih RM69 juta, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan penonton dari seluruh Asia Tenggara.

Sebagai sebahagian daripada strategi perluasan pasaran global, filem arahan Nizam Razak itu dijadual ditayangkan di Arab Saudi, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada akhir April ini, diikuti Korea Selatan dan Turkiye (Mei) serta Vietnam dan India (Jun).

Bagi memenuhi keperluan penonton antarabangsa, pasukan produksi turut melakukan alih suara dalam beberapa bahasa utama termasuk Inggeris, Korea, Arab, Hindi, Turki dan Vietnam.

Selain terjemahan, pasukan itu juga akan memasukkan elemen seperti dialog, humor dan rujukan budaya untuk disesuaikan dengan citarasa setiap pasaran.

Dengan tayangan akan datang di Timur Tengah dan Asia Timur, filem itu dijangka mengekalkan momentum globalnya, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri animasi antarabangsa.

-- BERNAMA
 

Must Watch Video