Skip to main content

Malaysia

'Semua Tentang Kita' - Peterpan kembali hidupkan nostalgia di Malaysia

PETALING JAYA, 12 Julai (Bernama) -- Ribuan peminat muzik era awal 2000-an membanjiri Idea Live Arena di sini malam Sabtu bagi menyaksikan konsert The Journey Continues To Malaysia Peterpan - Semua Tentang Kita, sekali gus mengubat kerinduan terhadap lagu-lagu malar segar kumpulan legenda Indonesia, Peterpan.
Walaupun tanpa kehadiran vokalis asalnya, Ariel, persembahan yang dibawakan bersama beberapa penyanyi jemputan tetap mendapat sambutan hangat. - Gambar/ Bernama
Advertisement

PETALING JAYA: Ribuan peminat muzik era awal 2000-an membanjiri Idea Live Arena di sini malam Sabtu bagi menyaksikan konsert The Journey Continues To Malaysia Peterpan - Semua Tentang Kita, sekali gus mengubat kerinduan terhadap lagu-lagu malar segar kumpulan legenda Indonesia, Peterpan.

Konsert itu menampilkan anggota asal Peterpan, iaitu Ilsyah Ryan Reza (pemain dram), Andika Naliputra (pemain piano), Hendra Suhendra (pemain gitar bes) dan Loekman Hakim (pemain gitar), yang menghidupkan semula nostalgia menerusi deretan lagu yang pernah menjadi siulan ramai.

Walaupun tanpa kehadiran vokalis asalnya, Ariel, persembahan yang dibawakan bersama beberapa penyanyi jemputan tetap mendapat sambutan hangat, sekali gus membuktikan karya Peterpan masih mempunyai tempat istimewa dalam kalangan peminat di Malaysia.

Seawal petang, peminat mula memenuhi pekarangan arena dan sanggup beratur selama berjam-jam bagi mendapatkan tempat terbaik untuk menyaksikan persembahan kumpulan yang pernah mencipta fenomena di rantau ini.

Konsert bermula tepat pukul 8.20 malam dengan kemunculan Marcello Tahitoe atau Ello yang membuka pentas menerusi lagu Taman Langit dan Khayalan Tingkat Tinggi sebelum menyapa peminat yang tidak putus-putus memberikan sorakan.

What's up Malaysia! Nice to see you again. Saya baru datang ke sini bulan lepas (melalui konsert Dewa 19) tetapi Peterpan dah datang ke sini sejak 18 tahun yang lepas.

“Malaysia, scream! Masa pertama kali saya diajak ke projek ini, saya fikir, 'These guys, they are legends!' Jadi, lagu-lagunya masih relate sama kita. Setuju?” katanya.

Selain persembahan bertenaga, Ello turut mencuri perhatian apabila melayan kerenah peminat yang memintanya mengikat rambut ketika konsert berlangsung, sekali gus mewujudkan suasana santai dan mesra sepanjang persembahan.

Turut memeriahkan konsert ialah penyanyi Indonesia Rony Parulian, Tantri Kotak dan Arda Hatna, selain penyanyi tempatan Hael Husaini.

Hael, yang mendendangkan lagu Jauh Mimpiku serta Aku dan Bintang mengakui berasa sedikit gementar apabila diberi peluang berkongsi pentas dengan kumpulan yang banyak mempengaruhi industri muzik serantau.

“Ini bukan sekadar kolaborasi buat saya. Saya membesar dengan lagu Peterpan dan saya yakin ramai di sini juga mempunyai kenangan bersama lagu-lagu mereka,” katanya.

Antara detik paling bermakna pada malam itu ialah apabila lagu ikonik Mimpi Yang Sempurna dinyanyikan hampir sepenuhnya oleh ribuan penonton tanpa iringan vokal penyanyi, mencerminkan hubungan erat peminat dengan karya-karya Peterpan yang terus malar sehingga kini.

Arda pula berkongsi kisah peribadinya apabila mendedahkan lagu Ku Katakan Dengan Indah mempunyai nilai sentimental kerana berkait rapat dengan perjalanan cintanya.

“Lagu ini membekas di hati saya kerana ada orang yang menghancurkan hati saya waktu itu tetapi orang itu juga yang mengubat hati ini. Kesempatan itu datang dan akhirnya saya nikah samanya,” katanya yang berduet lagu itu bersama isterinya Tantri.

Lebih meriah, rata-rata peminat yang hadir mengenakan pakaian bertemakan warna biru tidak melepaskan peluang menyanyi bersama barisan artis, malah ada yang turut larut dalam emosi menerusi lagu-lagu yang sarat dengan kenangan.

Konsert berdurasi kira-kira dua jam itu turut menampilkan lagu-lagu popular Peterpan seperti Ada Apa Denganmu, Menunggumu, Mungkin Nanti, Bintang di Surga, Tak Bisakah dan Semua Tentang Kita.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement