Skip to main content

Malaysia

Status artis bukan laluan mudah tunai haji - Ezad Lazim

[TB]_Ezad Lazim & isteri, Ziana Ismail, haji 2026_ASTRO AWANI
Ezad bersyukur kerana ketegasan isterinya, Ziana pada akhirnya membawa mereka berdua ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji tahun ini. - Gambar Astro AWANI

MEKAH: Vokalis kumpulan Exist, Ezad Lazim menegaskan, status sebagai artis bukan tiket mudah untuk menunaikan ibadah haji, sebaliknya, dia turut melalui proses sama seperti jemaah lain di bawah sistem penggiliran Tabung Haji (TH).

Menurutnya, perjalanan ke Tanah Suci memerlukan perancangan, kesabaran dan kesungguhan termasuk membuka akaun, membuat simpanan, mendaftar awal serta mengikuti kursus haji sebelum dipanggil.

“Orang ingat artis senang pergi haji, tapi sebenarnya tidak. Semua kena ikut proses. Kita simpan (duit), daftar, pergi kursus dan tunggu (giliran) seperti orang lain,” katanya ketika ditemui di sini.

Perjalanan Ezad ke Mekah bermula seawal perkahwinannya apabila isterinya Ziana Ismail, mengambil langkah proaktif membuka akaun Tabung Haji dan mendaftarkan mereka.

Ezad mengakui, isterinya menjadi pendorong utama yang membuka kesedaran tentang kepentingan membuat persediaan awal.

“Akaun pertama yang dia suruh buka bukan akaun bank, tapi akaun Tabung Haji. Dia tanya saya kenapa tak ada akaun. Dia yang ‘push’ saya,” katanya.

Menurut Ezad, isterinya terlebih dahulu menerima tawaran menunaikan haji, sekali gus mendorong beliau untuk membuat rayuan agar dapat menunaikan ibadah bersama sebagai mahram.

“Dia yang dapat dulu. Masa itu saya berdoa, kalau ada rezeki, saya nak tunai haji bersama isteri. Alhamdulillah Allah permudahkan,” katanya.

Dalam masa sama, Ezad percaya kesungguhan berterusan, termasuk menghadiri kursus haji walaupun belum terpilih, menjadi antara faktor yang membuka peluang tersebut.

“Mungkin Tuhan nampak kesungguhan kita. Kita bukan setakat simpan (duit) dan tunggu, kita hadir kursus, kita belajar,” katanya.

Ezad turut mengakui perasaan terharu apabila dapat menunaikan ibadah haji bersama pasangan, sesuatu yang tidak semua jemaah berpeluang alami.

“Ada yang pergi seorang. Tapi Alhamdulillah, impian kami sejak dulu Allah tunaikan,” katanya.

Kata Ezad, pengalaman menunaikan haji jauh berbeza berbanding umrah, termasuk suasana dan layanan sebagai tetamu Allah di Tanah Suci.

“Dari lapangan terbang lagi kita disambut. Rasa seperti benar-benar dialu-alukan. Memang pengalaman yang luar biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Ezad berharap perjalanan hajinya menjadi contoh kepada anak-anak agar memahami kepentingan ibadah sejak usia muda.

“Anak saya yang kecil pun tanya kenapa dia tak ikut. Dari situ kita jelaskan ini bukan bercuti, ini rukun Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Ziana  berkata, perjalanan ke Tanah Suci bersama suami bukan sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya melalui proses panjang sejak beliau mula mendaftar Tabung Haji pada 2009, walaupun kesedaran awal telah wujud lebih awal.

Katanya, pengalaman pertama menunaikan umrah pada 2008 menjadi titik tolak kepada kesungguhan untuk menabung dan membuat persiapan lebih serius bagi menunggu giliran haji.

“Macam saya, memang target tahun ini nak pergi haji. Dari 2009 saya daftar, tapi kesedaran tu sebenarnya dah ada lama dulu. Lepas umrah pertama, baru betul-betul fokus,” katanya.

Ziana berkata, sepanjang tempoh itu, beliau konsisten melakukan amalan ibadah termasuk solat tahajud, doa, sedekah serta menghadiri kursus haji apabila berkesempatan sebagai persiapan rohani dan mental.

Katanya, dia kemudian membuat rayuan haji pada tahun lalu bertepatan dengan tarikh lahirnya, sebelum menerima panggilan sebagai tetamu Allah pada Disember tahun sama, yang disifatkan sebagai detik paling tidak disangka.

“Saya ingat lagi masa buat rayuan... saya berdebar sangat. Tak sangka lepas beberapa minggu dapat panggilan,” katanya yang tidak henti-henti memanjat kesyukuran.

Must Watch Video