KUALA LUMPUR: Pelakon, Amyza Aznan memaklumkan suaminya, Khairil Izhar Mohd Nazir, 51, kini berada dalam keadaan kritikal dan ditidurkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Perkembangan itu dikongsikan Amyza, 50, menerusi hantaran di Instagram Story miliknya pada Ahad, namun tidak memperincikan punca atau keadaan kesihatan suaminya.
"Assalamualaikum, suami saya Khairil Izhar berada dalam keadaan kritikal dan telah ditidurkan di Hospital Kuala Lumpur," tulisnya.
Sementara itu, pengurus Amyza yang dikenali sebagai Farid berkata, mereka masih berada di hospital dan sedang menantikan perkembangan lanjut daripada pihak doktor.
"Ketika ini kami masih berada di hospital. Saya akan kemas kini dalam masa terdekat selepas berjumpa doktor terlebih dahulu.
"Suami Amyza sedang kritikal dan kami sedang menunggu doktor menjalankan pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi.
Ini bukan kali pertama Khairil berdepan masalah kesihatan serius. Pada Disember 2017, dia pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan swasta akibat serangan jantung.
Pada Disember 2023 pula, Amyza mendedahkan terpaksa membuat keputusan sukar apabila suaminya ditidurkan akibat mengalami sesak nafas. Bagaimanapun, Khairil dilaporkan sedar selepas dua hari sebelum disahkan dijangkiti COVID-19 dan memerlukan rawatan rapi lanjut.
Amyza dan Khairil mendirikan rumah tangga pada tahun 2003 serta dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Andre Mikhail, Adrian Adam dan Ayden Andika.
Pasangan itu turut berdepan ujian besar apabila anak sulung mereka, Andre Mikhail, meninggal dunia pada 23 Februari lalu selepas berjuang melawan kanser paru-paru tahap tiga.