KUALA LUMPUR: Semangat keberanian dan keazaman yang menjadi teras filem “Terbang” dibawa keluar dari pawagam menerusi jelajah kenderaan elektrik (EV) Terbang X STING dari Kuala Lumpur ke Johor pada Rabu.
Dianjurkan Astro Shaw bersama STING, jelajah itu menghimpunkan barisan pelakon dan peminat dalam pengalaman interaktif menjelang tayangan filem berkenaan pada 17 September ini.
Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, Amy Gan berkata, jelajah tersebut menghidupkan kisah sebenar legenda rali negara, Karamjit Singh, sekali gus memberi peluang kepada rakyat Malaysia mendekati semangat filem itu sebelum ditayangkan.
“Apa yang menjadikan perjalanan ini istimewa ialah TERBANG bukan sekadar sebuah cerita fiksyen tentang cita-cita dan ketabahan. Ia diinspirasikan daripada perjalanan sebenar legenda rali negara, Karamjit Singh, serta keazaman beliau untuk melangkaui batas dan mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
“Dengan membawa TERBANG ke jalan raya, kami menghidupkan semangat juang dan keazaman daripada kisah itu di luar pawagam, sekali gus menjadikannya pengalaman yang boleh diikuti serta disertai rakyat Malaysia,” katanya.
Jelajah itu merupakan aktiviti promosi ketiga selepas penganjuran cabaran rali bersama Karamjit dan penyertaan STING serta “Terbang” dalam perarakan Hari Kebangsaan.
Menurut Amy, penggunaan EV turut mencerminkan gagasan untuk terus maju, merangkul perubahan teknologi dan mengekalkan keazaman ketika berdepan cabaran.
“Kami memilih EV kerana ia melambangkan kemajuan dan kesediaan untuk merangkul perubahan. Perjalanan ini bukan sekadar melihat kembali sejauh mana kita telah melangkah, tetapi juga tentang memandang ke hadapan dengan semangat yang sama meskipun zaman dan teknologi berubah.
“EV menawarkan cara yang lebih moden dengan memanfaatkan tenaga bersih untuk membawa perjalanan TERBANG merentasi Malaysia, sambil kekal berpegang pada mesej utamanya untuk melangkaui batas,” jelasnya.
Amy berkata, kerjasama itu bukan sekadar penajaan, sebaliknya usaha mewujudkan pengalaman bermakna yang dapat menghubungkan penonton dengan kisah serta nilai yang dibawa filem berkenaan.
“Bagi STING, menyokong TERBANG adalah tentang meraikan semangat tersebut. Kami mahu menyokong kisah yang menggalakkan rakyat Malaysia supaya berani mengejar cita-cita, melangkaui batas kemampuan serta percaya bahawa asal-usul kita tidak sepatutnya membataskan sejauh mana kita mampu pergi.
“TERBANG memberi kita peluang untuk meraikan bakat Malaysia, ikon sukan permotoran negara dan paling penting, semangat rakyat Malaysia,” katanya.
Konvoi berkenaan dilepaskan pada pukul 8 pagi sebelum singgah di stesen pengecasan EV STING x Gentari di Senawang dan kemudiannya di Melaka, seterusnya menamatkan perjalanan di Johor Bahru.
Legenda rali negara, Karamjit Singh turut menyertai konvoi bersama barisan pelakon untuk bertemu peminat di sepanjang laluan.
“Terbang”, yang diinspirasikan daripada perjalanan lagenda rali, Karamjit bersama pasukan Malaysia melangkaui batas hingga mengharumkan nama negara di pentas rali antarabangsa, akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 17 September ini.