PENYANYI pop antarabangsa Ariana Grande menamatkan jelajah Eternal Sunshine Tour dengan penuh emosi apabila menzahirkan penghargaan kepada para peminat pada konsert terakhirnya di London.
Pemenang Anugerah Grammy itu mengakhiri siri jelajah berkenaan selepas menjayakan 41 persembahan merentasi Amerika Syarikat, Montreal dan London sejak ia bermula di Oakland, California pada 6 Jun lalu.
Konsert penutup tersebut melengkapkan residensi 10 malam Grande di London yang menjadi destinasi terakhir jelajah berkenaan.
Ketika berucap di hadapan ribuan peminat, penyanyi berusia 33 tahun itu dilihat sebak ketika mengenang perjalanan sepanjang siri konsert tersebut.
“Ini merupakan salah satu pengalaman paling indah dan luar biasa dalam hidup saya. Saya hanya mahu mengucapkan terima kasih tanpa menangis sepenuhnya.
“Terima kasih dari lubuk hati saya. Pengalaman ini sangat istimewa dan saya akan sentiasa menghargainya,” katanya.
Pelantun lagu We Can’t Be Friends itu turut menyifatkan peminatnya sebagai antara faktor utama yang menjadikan jelajah berkenaan begitu bermakna.
“Saya mempunyai peminat terbaik di seluruh dunia dan saya sentiasa memilikinya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Grande turut menghargai kreativiti peminat yang hadir dengan pelbagai kostum, solekan dan penampilan unik sepanjang jelajah tersebut.
Menurutnya, setiap mesej, pakaian dan usaha yang ditunjukkan peminat berjaya menjadikan pengalaman konsert berkenaan lebih istimewa.
“Saya menikmati setiap minit bersama anda semua dan saya mahu memastikan anda tahu betapa bersyukurnya saya.
“Terima kasih dan saya sangat menyayangi anda semua,” katanya.
Sebelum ini, Grande pernah menggambarkan Eternal Sunshine Tour sebagai antara pengalaman paling bermakna dalam kerjayanya kerana memberi peluang untuk lebih menghargai hubungan dengan peminat serta menikmati setiap persembahan dengan lebih mendalam berbanding jelajah-jelajah terdahulu.